Tiada Wakil Cina Dalam Kerajaan Bukan Ugutan Tapi Hukum Politik Yang Logik
11:09 PM
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemungkinan kehilangan perwakilan dari kaum Cina dalam kerajaan sekiranya komponen parti Barisan Nasional (BN) gagal mendapat sokongan pengundi Cina pada pilihan raya umum akan datang bukanlah satu ‘ugutan’ kepada masyarakat Cina tetapi ia adalah hukum politik yang logik.
Sambil menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang benar dan berterus terang, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata hakikatnya masyarakat khususnya pengundi Cina perlu menyokong MCA atau Gerakan bagi memastikan mereka mempunyai wakil yang kuat dalam kerajaan.
“Semua orang yang faham politik mesti akui hakikat itu… jika tidak undi, calon MCA dan Gerakan akan kalah maka tiada wakil rakyat dari kaum Cina dari BN.
“Tahun 2008 (pilihanraya umum ke 12) Gerakan cuma memang dua kerusi di Grik dan Simpang Renggam, MCA tanding 40 kerusi menang cuma 15 dan masih lagi diberi kuota Menteri dan Timbalan Menteri seperti 2004 (pilihanraya umum ke 11)..
“…tapi baru-baru ini Presiden MCA sebut jika masyarakat Cina tak undi mereka tentulah sukar untuk MCA meminta jawatan-jawatan… ini hukum politik yang logik”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib baru-baru ini bahawa komuniti Cina perlu memutuskan sama ada hendak mengundi parti komponen BN atau kehilangan perwakilan mereka dalam kerajaan.
Najib dilaporkan berkata komuniti Cina perlu mengorbankan parti dalam kerajaan sekiranya mereka memilih untuk menyokong pembangkang.
Kenyataan Perdana Menteri itu adalah susulan kepada kenyataan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Jumaat lepas bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri sekiranya mereka mendapat keputusan buruk pada pilihan raya akan datang berbanding pilihan raya 2008.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya percaya dengan izin Tuhan juga BN akan terus memerintah negara ini kerana rakyat sudah muak dengan gelagat pemimpin pembangkang terutama dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sesetengahnya pimpinan Pas.
“BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pertahan kerajaan ini demi rakyat… saya tetap yakin masih ramai orang Cina yang bersetuju dengan dasar-dasar BN dan hasrat kerajaan majukan negara ini…ramai juga sokong Gagasan 1Malaysia”, ujarnya. -MediaUMNO