64 ahli Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara masuk UMNO

64 ahli Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara masuk UMNO

KUALA LUMPUR 31 Mei - Seramai 64 ahli Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara, Puchong di sini bertindak menyertai UMNO setelah sedar parti tersebut langsung tidak menjaga kepentingan bumiputera.

Pengasas dan Pengerusi DAP Cawangan Lembah Kinrara, Haron Abdul Wahab berkata, kehadiran ahli Melayu di dalam parti tersebut hanya sekadar 'pencukup kuota' untuk mereka tunjukkan bahawa ada orang Melayu yang menyokong DAP.

"Kehadiran kami cuma sekadar melukut di tepi gantang. Meskipun kami merupakan cawangan aktif DAP yang paling ramai ahli Melayu, pimpinannya yang diketuai Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo langsung tidak menghargai pendapat dan usaha kami," katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita pada Majlis Mesyuarat Mingguan UMNO bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau mewakili 63 yang lain menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Tambah Haron, lebih 100 penduduk yang menjadi ahli DAP di cawangan tersebut dijangka mengikut jejak mereka dalam masa yang terdekat ini.

Ditanya kenapa mengambil keputusan menyertai DAP sebelum ini, ujar beliau, dahulunya tuntutan untuk mempertahankan hak orang Melayu kurang menyerlah dalam dirinya akibat terlampau mempercayai manifesto pembangkang yang ternyata palsu belaka.

"Alhamdulillah, kini saya sedar bahawa DAP memang tidak elok. Setelah saya menunaikan umrah, saya menangis tidak henti dan menyesali perbuatan membelakangi perjuangan bangsa sendiri di hadapan Kaabah.

"Sejurus saya pulang ke tanah air, saya telah berazam untuk meletakkan semua jawatan dalam DAP. Hari ini, tercapailah hasrat saya," ujarnya.

Beliau turut menyeru semua orang Melayu yang menganggotai DAP supaya meninggalkan perjuangan parti tersebut dan beralih kepada UMNO bagi memastikan hak Melayu tidak tergugat.

Sementara itu, Ahmad menyifatkan kemasukan bekas ahli DAP itu ke dalam UMNO sebagai bonus yang besar dan perlu dicontohi oleh semua orang Melayu yang prihatin dengan masa depan bangsanya sendiri.

"Alhamdulillah, lebih ramai orang Melayu sedar bahawa hanya UMNO yang mampu mempertahankan hak dan nasib bangsa. Fakta ini perlu diakui oleh semua orang Melayu yang mahu melihat masa depan bangsanya terjamin," kata beliau.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:56 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 64 ahli Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara masuk UMNO

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]