Huru hara: UMNO, Pekida bantah perhimpunan Bersih
9:08 AM
KUALA LUMPUR 14 Jun – UMNO membantah sekeras-kerasnya perhimpunan Bersih di sini pada 9 Julai ini kerana ia akan menimbulkan keadaan huru hara dan menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, perhimpunan itu sebenarnya bukan bertujuan memperjuangkan isu mengenai pilihan raya seperti yang dilaungkan oleh penganjurnya.
"Penganjuran perhimpunan ini jelas berniat jahat dan akibatnya orang ramai seperti peniaga, penjaja dan pemandu teksi yang akan menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat UMNO di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman dan anggota-anggota Pekida Wilayah Persekutuan untuk membincangkan mengenai perhimpunan itu.
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, dalam perbincangan itu Pekida telah sebulat suara membantah perhimpunan itu. – Bernama