PENSTANS A juara zon selatan

JOHOR BAHRU - Pasukan PENSTANS A muncul juara kategori Lelaki Terbuka setelah menundukkan PKNS A pada perlawanan akhir Kejohanan Sepaktakraw KFC-PKNS 2011 bagi Zon Selatan yang berlangsung di Kompleks Perbandaran Pasir Gudang dekat sini, semalam.

PENSTANS A yang beraksi cemerlang tidak mengambil banyak masa untuk menundukkan PKNS A 15-6, 15-7.

PENSTANS A dibarisi pemain Normanizam Ahmad (tekong), Mohd. Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Muhamad Suhairi Sulaiman (apit kiri) manakala PKNS A diwakili Mohd. Zamee Mohd. Zainuddin (tekong), Dzan Hedir Amin (apit kanan) dan Mohammad Saifulrudin Khalid (apit kiri).

Juara kategori Lelaki Terbuka membawa pulang RM2,500, trofi dan barangan penaja manakala naib juara membawa pulang RM2,000, trofi dan barangan penaja.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan disaksikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Pengerusi QSR Brands & KFC Holdings (Malaysia) Berhad, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahya; Pengarah Urusan KFC, Jamaluddin Md. Ali; Yang Dipertua MPPG, A. Rahim Nin dan Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Md. Noor.

Sementara itu, jurulatih pasukan PENSTANS A, Zambry Fared Mohd. Nordin menyifatkan kemenangan pasukannya sebagai tuah memandangkan ini adalah kali pertama pasukannya menyertai kejohanan tersebut.

''Tidak dinafikan kesemua pasukan yang bertanding bagi kategori ini amat hebat belaka, namun pasukan kami khususnya PENSTANS A bermain dengan penuh konsisten sejak awal pusingan.

''Pada perlawanan akhir juga, pasukan kami tidak menghadapi sebarang masalah dan kesefahaman diantara pemain adalah kunci kejayaan kami," katanya.

Zambry Fared turut mengakui Normanizam yang pernah menjadi tekong kebangsaan sehingga membantu negara menjulang emas pada Sukan SEA 2005 memberi kelebihan kepada pasukannya sehingga berjaya menjulang gelaran juara.

Katanya, dia kini fokus untuk merancang jadual latihan anak buahnya itu sebagai persediaan menghadapi kejohanan di peringkat kebangsaan nanti.

Selain PENSTANS A dan PKNS A, dua lagi pasukan yang turut layak ke peringkat kebangsaan adalah PKNS D dan UTM B.

Sementara itu, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) menepati ramalan ramai apabila mengungguli kedudukan juara dan naib juara bagi kategori Lelaki Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S Bawah 19 Tahun) dan Lelaki Bawah 15 Tahun.

Bagi kategori Lelaki IPTA/S Bawah 19 Tahun, SSTMI D menundukkan rakan sepasukan SSTMI F 15-13, 15-10 manakala bagi kategori Lelaki Bawah 15 Tahun, SSTMI A pula mengetepikan SSTMI B 15-11, 15-9.

Juara kategori Lelaki IPTA/S Bawah 19 Tahun membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan barangan penaja manakala naib juara membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan barangan penaja.

Juara bagi kategori Lelaki Bawah 15 Tahun pula membawa pulang RM1,500, trofi dan barangan penaja manakala naib juara membawa pulang RM1,000, trofi dan barangan penaja.

Bagi kategori Lelaki IPTA/S Bawah 19 Tahun, dua lagi pasukan yang akan mengiringi SSMTI D dan SSTMI F ke peringkat kebangsaan adalah SMK Seksyen 11 dan MPPG F.

Untuk kategori Lelaki Bawah 15 Tahun pula, SSTMI C dan SMK Seksyen 11 A turut menyertai SSTMI A dan SSTMI B ke peringkat kebangsaan selepas ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:31 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for PENSTANS A juara zon selatan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]