Perhimpunan Bersih Penuh Agenda Kotor Pembangkang – Ahmad
12:06 PM
KUALA LUMPUR, 14 Jun- Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan perhimpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini, yang dinamakan sebagai perhimpunan Bersih merupakan satu perhimpunan `kotor’, kerana perhimpunan ini akan menyusahkan rakyat, khususnya penduduk di Kuala Lumpur.
“Perhimpunan ini juga akan merugikan penjaja dan peniaga yang ada kedai, pastinya ia akan menjejaskan punca pendapatan mereka. Ia juga akan menakutkan pelancong-pelancong yang datang, seterusnya akan menyukarkan pemandu-pemandu teksi mencari pelanggan pada hari tersebut.
“Perhimpunan ini juga akan menghuru-harakan keadaan, dan membawa imej yang tidak baik di luar negara seolah-olah Malaysia ini tidak aman, sedangkan selama ini kita duduk di Malaysia ini, selama 365 hari kita hidup aman damai,” ujarnya mengulas perhimpunan Bersih yang akan diadakan pada 9 Julai ini.
Dalam masa yang sama, tegasnya pakatan pembangkang berlindung di sebalik nama NGO `Gabungan Pilihan Raya Adil Dan Bersih’ atau Bersih sedangkan mereka yang terlibat adalah pemimpin pembangkang yang nyata mempunyai agenda peribadi.
“Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Haji Hadi, Mat Sabu, Ronnie Liu, Teresa Kok, Tony Pua, pembangkang belaka ini. Siapa kata ini NGO? Kita anggap ini alat pembangkang dan mempunyai agenda kotor, adalah satu usaha memporak-perandakan negara yang aman damai.
“Jangan kerana hanya satu titik hitam di satu ruangan putih negara yang aman damai ini, maka di luar negara melihat Malaysia ini sebuah negara yang huru-hara. Apa akan jadi dengan pelabur asing, apa akan jadi dengan ekonomi negara, apa akan jadi dengan kestabilan politik yang menyebabkan punca utama pelabur asing datang melabur dalam negara kita ini hanya kerana ada satu kejadian kotor pada 9 Julai ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum itu mengadakan perjumpaan bersama Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) cawangan Kuala Lumpur.
Tegasnya lagi pihak pembangkang juga ‘menipu juga’ dalam pilihan raya umum yang lalu apabila mereka telah menguasai enam buah negeri, Selangor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan juga Wilayah Persekutuan.
“Itu semua gimik politik sahaja. Enam daripada empat belas negeri dalam Malaysia ini dimenangi oleh pembangkang pada tahun 2008. Tak bersih apanya pilihan raya di Malaysia ini.
“Berapa banyak mereka menang…23 kerusi Parlimen dimenangi Pas, 29 kerusi Parlimen DAP, 30 kerusi PKR menang walaupun enam cabut lari dan kalah semula satu kerusi dalam pilihanraya kecil. Kalau tak bersih, satu kerusi pun mereka tidak menang,” ujarnya yang juga Ketua Biro Publisiti Barisan Nasional.
Beliau turut menambah satu lagi sandiwara yang dimainkan pembangkang dalam soal perhimpunan Bersih ini apabila meminta pihak polis bekerjasama dengan penganjur Bersih agar perjalanan perhimpunan ini berjalan lancar pada 9 Julai ini sedangkan satu ketika dulu, bukan sahaja berbagai-bagai tohmahan dan krtitikan dilemparkan kepada pihak polis malah berbagai-bagai gelaran buruk yang dilemparkan terhadap pihak berkuasa ini. -MediaUMNO