Dewan Rakyat kecoh isu Buku Jingga, Felda

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila soalan tambahan seorang penyokong kerajaan berhubung isu Buku Jingga menyebabkan wakil pembangkang 'panas telinga'.

Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan mengenai untung dan rugi kepada Felda sekiranya cadangan dalam Buku Jingga supaya tanah yang dimiliki Felda Plantations diberikan kepada semua anak peneroka generasi kedua dilaksanakan.

Belum pun sempat Ahmad menjawab, Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun lalu berkata, beliau mahu menjawab soalan itu kerana ia mengenai Buku Jingga.

Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) juga bangun dan mahu soalan itu dijawab oleh Ketua Pembangkang diikuti Tian Chua (PKR-Batu) yang secara sinis berkata persoalan itu akan dijawab selepas pilihan raya akan datang.

Selepas keadaan agak reda, Ahmad bangun untuk menjawab soalan Ismail namun sekali lagi terganggu dengan celahan wakil pembangkang sehingga memaksa campur tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar mengingatkan anggota Dewan, banyak platform boleh digunakan untuk menyampaikan pandangan seperti di laman sosial, bukan hanya di dalam Dewan Rakyat kerana terikat dengan peraturan.

"Soalan asal Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) adalah mengenai kedudukan terkini kewangan Felda dan kewajaran Felda meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ia telah dijawab oleh Ahmad dan beliau (Anwar) bangun untuk dapatkan penjelasan, juga telah dijawab oleh menteri.

"Soalan yang sepatutnya ditanya biarlah berkaitan dengan soalan asal yang dikemukakan oleh Permatang Pauh bukan soalan mengenai Buku Jingga," kata Pandikar lalu meminta Datuk Sapawi Ahmad (BN-Sipitang) bertanyakan soalan lisan seterusnya.

Tidak berpuas hati kerana soalan Ismail belum dijawab, beberapa penyokong kerajaan antaranya Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol), Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota belud) dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bangun mempertahankan bahawa apa yang ditanya Ismail memang ada kaitan dengan soalan asal Anwar.

Turut mencelah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang meminta Ahmad diberi kesempatan memberi penjelasan agar golongan peneroka tidak terus tertipu dengan dakyah pembangkang.

Bagi meredakan suasana, Pandikar mengarahkan semua Ahli Parlimen supaya bertenang bagi mengelakkan tindakan.

"Kalau ada ahli Yang Berhormat tidak duduk dan masih ada yang bertengkar dengan saya dan siapa yang berdiri apabila saya panggil Sipitang (Sapawi) untuk soalan seterusnya, saya akan suruh keluar," tegasnya menghentikan kekecohan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 5:01 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Dewan Rakyat kecoh isu Buku Jingga, Felda

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]