Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) dilancarkan hari ini bagi membela hak-hak dan kepentingan jurufoto media di Malaysia


KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Buat pertama kalinya dalam sejarah negara ini, Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) dilancarkan hari ini bagi membela hak-hak dan kepentingan jurufoto media di Malaysia. Pelancaran persatuan itu disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad selaku penaung persatuan itu. Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata beliau menyokong penubuhan persatuan itu yang menurutnya akan lebih memudahkan jurofoto media menuntut hak-hak mereka.

"Kalau kita berseorangan sukar bagi kita untuk membuat desakan, tapi kalau
kita berkumpul menjadi satu maka kita akan dapat mengalahkan kuasa di dunia
sekali pun," katanya sambil merujuk kepada semangat bersatu-padu orang Melayu
ketika menentang gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British yang
menjajah Tanah Melayu pada satu ketika dahulu.

"Masa Malayan Union, orang Melayu pada ketika itu tidak ada jurugambar macam
ini, amat miskin, tidak ada kelulusan universiti, tidak ada kebolehan apa pun,
tapi kerana mereka bersatu padu, mereka dapat mengalahkan kuasa pada ketika itu,
iaitu Great Britain," katanya. Selain itu, Dr Mahathir juga mengingatkan semua jurufoto media mengenai tanggungjawab mereka yang besar dalam merakam sejarah untuk tatapan dunia.

"Untuk memperingati kita akan sesuatu peristiwa ini tidak ada sesuatu yang
lebih berkesan daripada gambar, jadi tuan-tuan mempunyai satu tanggung jawab
yang besar," katanya yang berharap mereka menggunakan kuasa yang mereka
ada untuk kebaikan negara. Impak sekeping gambar mampu memberi 1,000 makna, katanya.
Presiden MPPA Mat Salim Shaari berkata MPPA ditubuhkan bertujuan bagi menjaga kebajikan, memberi latihan dan menerapkan etika kewartawanan. Sebelum ini, banyak kejadian jurufoto media yang dikasari dan dipukul sehingga terlantar di hospital, namun tiada pihak yang boleh dirujuk berikutan tiada persatuan seumpama ini ditubuhkan di negara ini walaupun ada syarikat
media di negara ini telah mencapai usia 160 tahun

"Selain itu, persatuan juga akan berjuang dalam usaha untuk orang ramai
tidak lagi melihat pekerjaan jurufoto sebagai pekerjaan kelas kedua," katanya.
Sehingga kini, beliau berkata kira-kira 400 jurufoto media yang berdaftar
dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di seluruh negara telah
menyertai MPPA. Pada majlis itu, MPPA turut menerima sumbangan RM20,000 daripada pihak
kerajaan, Celcom (RM20,000), syarikat Jamu Mak Dara (RM15,000) dan syarikat NSTP
(RM10,000). Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Ahmad Maslan yang dilantik sebagai penasihat kepada MPPA.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:53 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) dilancarkan hari ini bagi membela hak-hak dan kepentingan jurufoto media di Malaysia

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]