Keghairahan Berpolitik Punca Nik Aziz Langgar Adab Kesopanan - Ahmad Maslan
11:06 AM
BENTONG, 28 Jun (Bernama) -- Keghairahan berpolitik terutamanya menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan menyebabkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hilang segala adab dan kesopanan dengan mengeluarkan kenyataan tidak sopan terhadap Umno.Bagi Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan, walaupun Nik Aziz adalah golongan ulama, namun kenyataannya baru-baru ini yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis tidak melambangkan bahawa beliau patut dicontohi oleh anggota Pas yang lain."Jangan kerana kita nak menang, kita sampai lupa adab kesopanan. Beliau (Nik Aziz) telah melanggar adab kesopanan dan itu bukan contoh yang perlu diikuti walaupun dia adalah ulama," katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis penutupan kursus percambahan minda dan jati diri di Institut Latihan Memperkasakan Umno (ILMU) di Janda Baik di sini hari ini.Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kenyataan Nik Aziz itu dilihat telah melanggar adab kesopanan berpolitik sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.Katanya Umno pun ada juga mengkritik PAS tetapi tidaklah sampai mengeluarkan kenyataan seperti itu, katanya.Ahmad berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga harus mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada Umno ekoran kenyataannya itu."Beliau perlulah sedar diri. Jangan hanya nak menang, segala perkara dihalalkan," katanya.Sementara itu, Ahmad juga berharap semua anggota Umno sebulat suara menyokong calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti bagi mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai.Beliau berkata sokongan itu penting bagi memastikan Umno dan BN memenangi kerusi DUN itu."Setelah diumumkan calon yang akan mewakili Umno dan BN nanti, maka kumpulan yang menyokong calon-calon lain perlulah bersatu dan menyokong apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti."Calon yang dipilih itu telah disaring dan ia adalah yang terbaik untuk parti. Lupakan perbalahan dan tumpukan pada usaha memperkuatkan jentera untuk memenangkan calon itu kerana perjuangan kita (Umno) lebih besar daripada itu (perbalahan). Kalau tidak dapat melupakan, kita khuatir kita akan kalah bukan kerana PAS tetapi persengketaan kita sendiri," katanya.Kerusi DUN Manik Urai kosong setelah penyandangnya Ismail Yaacob, 60, daripada PAS meninggal dunia pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian ditetapkan pada 14 Julai.DI KUALA KRAI, Pengerusi Badan Perhubungan Umno kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata PAS dilihat cuba mengalih perhatian mengenai kegagalan mereka mentadbir negeri Kelantan hampir 20 tahun lalu dengan menabur pelbagai fitnah dan memburuk-burukkan pemimpin Umno.Katanya apa yang dilakukan parti itu menampakkan sikap angkuh mereka kerana sudah terlalu lama memerintah Kelantan sehingga merasa mereka akan menang besar pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai."PAS nampaknya semakin angkuh dan takbur, mungkin mereka rasa mereka maksum, suci daripada dosa, dan boleh buat segala-galanya. Mungkin kerana sudah 19 tahun memerintah, sudah lama sangat, mereka memperlekehkan kita."Tetapi, apa pun yang mereka lakukan, kita akan buktikan kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak seperti yang mereka dakwa," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi BN di Sungai Sok Luar di sini, hari ini.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh PAS terhadap Umno, terutama menjelang pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 14 Julai ini.Beliau menegaskan, BN tidak akan terikut-ikut dengan permainan PAS dan tetap akan berlawan habis-habisan untuk memastikan kemenangan di kawasan itu.Katanya BN akan tetap mengamalkan pendekatan mesra rakyat dan memberi penerangan kepada penduduk Manik Urai bahawa kerajaan pusat lebih berkemampuan untuk membela nasib mereka daripada kerajaan negeri.Setiap isu yang dibangkitkan pembangkang juga seperti isu kerajaan perpaduan dan royalti minyak akan ditangani dengan sebaik mungkin bagi memastikan rakyat tahu kedudukan sebenar."Kita juga akan bangkitkan kemampuan kerajaan negeri yang sudah hampir 20 tahun memerintah Kelantan tapi sehingga kini masih tidak ada searang pemaharuan dilakukan."Kita hendak jadikan Manik Urai sebagai titik permulaan kepada kebangkitan Umno di Kelantan dan seluruh negara, kemenangan di sini akan naikkan semangat anggota Umno seluruh negara," katanya.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 11:06 AM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0