Adun Kota Alam Shah wajar ditahan bawah ISA

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Melayu menganggap kenyataan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), M Manoharan yang mahu bukan Melayu diberikan status Bumiputera, sebagai melampau dan berniat mahu memecah-belah masyarakat. Mereka menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah itu sebagai mempertikaikan Perlembagaan negara dan wajar dikenakan tindakan termasuk ditahan semula menerusi ISA. Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata Manoharan sebagai Adun cuba melupakan sejarah mengenai status Bumiputera dan mempolitikkan isu itu demi kepentingan dirinya.
Beliau juga memberi amaran, kenyataan sedemikian mampu merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia. "Perlembagaan sudah termaktub siapa Bumiputera dan siapa bukan Bumiputera serta hak keistimewaan Bumiputera ini tanpa mengabaikan hak bukan Bumiputera. Ia sudah dipersetujui oleh semua kaum sebelum ini. Ia sejarah negara dan sebagai Adun sepatutnya dia lebih tahu dan bukan mempertikaikannya. "Mungkin Manoharan masih belum insaf dan belajar selepas ditahan ISA. Saya harap beliau sedar tindakan beliau ini boleh menimbulkan kekacauan dan menggugat keharmonian negara," katanya.
Semalam, Manoharan berkata, beliau enggan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan kemelayuan walaupun menghadiri majlis rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu. Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata kenyataan Manoharan itu jelas menunjukkan beliau sebagai seorang yang bongkak dan buta sejarah. "Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempertikaikan Perlembagaan negara dan mencabar hak keistimewaan orang Melayu. Orang Melayu sudah banyak beralah sebelum ini dan kenyataan ini mencabar hak keistimewaan orang Melayu yang sudah dipersetujui semua. "Sebagai rakyat Malaysia terutama Adun, kita harus taat dan hormat kepada raja tetapi ini sudah biadap terhadap Sultan," katanya. Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada Manoharan supaya golongan ini tidak terus 'besar kepala' dan menuntut lagi pelbagai tuntutan tidak munasabah.
Pengerusi Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pula mahu tindakan tegas diambil terhadap Manoharan termasuk ditahan semula mengikut ISA kerana cuba mengeruhkan keharmonian negara. "Kenyataan bongkak Manoharan itu seolah-olah mahu mencabar kerajaan. Sewajarnya beliau ditahan semula menerusi ISA," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:50 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Adun Kota Alam Shah wajar ditahan bawah ISA

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]