Felda sediakan RM750 juta jayakan program GMN
1:09 AM

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, projek GMN yang akan dilaksanakan dalam dua fasa itu bermatlamat menjadikan Felda pusat pengeluar utama makanan negara.
"Pelancaran program ini boleh meningkatkan produktiviti isi rumah peneroka dan memaksimumkan penggunaan tanah kosong dengan aktiviti pertanian.
"Selain itu, program ini juga bakal membuka peluang pekerjaan kepada warga Felda dan masyarakat sekitar bagi menjana pendapatan tambahan kepada peneroka," katanya menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Ahmad menambah, Felda menetapkan tempoh 10 tahun bagi mencapai sasaran tersebut iaitu dari 2010 hingga 2019.
Katanya, fasa pertama program itu memberi tumpuan kepada projek lembu pedaging, ikan tilapia, pisang berangan dan cili kulai.
Bagi fasa kedua pula, katanya, Felda menumpukan kepada usaha meningkatkan pasaran tempatan dan menembusi pasaran import.
''Semua fasa ini akan dilaksanakan berdasarkan sistem peladangan kontrak," katanya.
