Kekalkan integriti didik anak bangsa

PONTIAN 1 Jun - Para guru disaran supaya sentiasa mengekalkan integriti sepanjang mendidik anak bangsa agar terus dihormati oleh masyarakat.
Demikian nasihat Mohd. Yusop Ibrahim, 62, yang menerima Anugerah Tokoh Guru sempena Sambutan Hari Guru Daerah Pontian 2010 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Benut, di sini semalam.
Hadiah berupa sijil dan plak disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Menurut Mohd. Yusop, guru perlu mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental memandangkan skop kerjaya mereka semakin berkembang, sesuai dengan peredaran zaman.
"Jika dahulu tugas guru lebih kepada mendidik anak murid agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
"Kini tugas mereka lebih dari itu memandangkan mereka turut menjadi bahan rujukan dan dianggap sebagai 'role model' kepada para pelajar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Yusop berpengalaman selama 36 tahun dalam bidang pendidikan dan jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Pelajaran di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pontian enam tahun lalu.
"Saya sering menasihati para pelajar agar menghormati guru-guru kerana itu merupakan kunci kejayaan bagi setiap pelajar," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, Parlimen Pontian akan menganjurkan Anugerah Sekolah Cemerlang pada tahun ini.
Anugerah itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Pemenang kategori sekolah menengah akan menerima hadiah wang tunai RM20,000 manakala tiga kategori lain menerima RM10,000.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:09 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

1 comments for Kekalkan integriti didik anak bangsa

  1. Assalamualaikum Datuk,

    Baguslah kalau berniat kekalkan integriti untuk mendidik anak bangsa, tapi dalam masa yang sama kami berharap pemimpin atasan UMNO ni berubah la datuk.

    Itu pun kalau rasa nak menang PRU akan datang, kalau rasa nak jadi pembangkang tak perlu la Datuk dan pucuk pimpinan amik kisah akan nasihat saya ini.

    mr.yus

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]