Tempoh akhir 24 jam amat kritikal - Musa

Tempoh akhir 24 jam amat kritikal

SANDAKAN 2 Nov. - Jentera Barisan Nasional (BN) perlu terus meningkatkan usaha pada hari terakhir berkempen esok yang merupakan tempoh kritikal bagi memastikan kemenangan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman berkata, ini termasuk memastikan semua penyokong BN di Parlimen Batu Sapi keluar mengundi pada Khamis ini.

"Kita tidak memandang mudah dan kita akan terus bekerja sampai peti undi itu ditutup.

"Kita pastikan semua pengundi dapat turun mengundi dan persediaan sudah diadakan, jadi jangan mengambil ringan," katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan media di Sri Libaran dekat sini hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Linda Tsen.

Menurut Musa, jentera BN akan terus melaksanakan strategi yang telus dengan memberi penerangan dan penjelasan kepada masyarakat mengenai program bagi membangunkan masyarakat.

"Kita bukan cakap bohong janji kosong dan yang penting kita kotakan apa kita katakan," katanya yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi Parlimen Batu Sapi.

Dalam pada itu, beliau berkata, calon BN, Linda Tsen diyakini akan mendapat sokongan padu daripada seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

"Saya percaya bukan sahaja bumiputera Islam atau bumiputera, orang-orang Tionghoa pun menyokong kita. Mereka sedar parti mana harus disokong, parti mana boleh membawa kesinambungan di kawasan tersebut," katanya.

Ditanya pengumuman Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong yang berjanji akan memberi sokongan penuh kepadanya, Musa berkata, ia menunjukkan kesatuan di dalam BN.

"Saya menyambut baik sokongan Vui Keong, saya katakan dari awal lagi, saya tidak ada masalah. Hubungan saya dengan parti-parti komponen memang baik, ini jelas ternyata bila ada pilihan raya kecil seperti ini, kita semua bekerjasama," ujarnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:47 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Tempoh akhir 24 jam amat kritikal - Musa

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]