FELDA hadapi masalah perluas tanah rancangan

Kerajaan negeri tak minat tawar kawasan penepatan peneroka


LABIS: FELDA menghadapi masalah untuk memperluaskan tanah rancangannya di seluruh negara berikutan sikap kebanyakan kerajaan negeri yang enggan menawarkan tanah untuk dibangunkan bagi tujuan penempatan peneroka dan membasmi kemiskinan tegar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata pembukaan tanah rancangan baru masih relevan dalam konteks untuk membasmi kemiskinan tegar, khususnya di kalangan penduduk luar bandar.
Katanya, cadangan supaya kerajaan negeri menyediakan tanah bagi tujuan pembukaan tanah rancangan baru disaran Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2006.

"Sejak itu, hingga kini tiada kerajaan negeri yang menunjukkan minat atau tampil menawarkan diri untuk pembukaan tanah rancangan FELDA yang baru walaupun selepas empat tahun sudah berlalu.

"Pengumuman itu masih terpakai sehingga hari ini dan tidak pernah terbatal, malah mana-mana negeri yang berminat boleh tampil berbincang dengan Kerajaan Pusat.

"Kita sedia merujuk perkara ini kepada Perdana Menteri sebelum mengadakan rundingan semula dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri yang berminat," katanya selepas majlis taklimat isu-isu semasa di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader; Ketua UMNO bahagian Labis, Rusdin Mahamud dan Ketua Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh.

Ditanya sama ada pembukaan tanah rancangan baru masih relevan di negara ini, Ahmad Maslan berkata konsep itu membantu mengubah nasib mereka yang miskin dan miskin tegar.

"Bagaimanapun, sedikit penyesuaian boleh dilakukan. Jika dulu setiap peserta atau peneroka diberi 10 ekar (4.04 hektar) tanah untuk diusahakan, mungkin sekarang hanya 5 ekar (2.02 hektar).

"Jika ada kawasan FELDA baru dibuka, konsep pertanian bersepadu boleh diperkenalkan termasuk industri ternakan selain mengusahakan tanaman seperti pisang, ubi kayu secara komersial di samping kelapa sawit," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata jentera parti itu sudah bersedia sepenuhnya bagi menjawab isu dibangkitkan pembangkang supaya penduduk di sini tidak terpedaya dan keliru.

"Walaupun Johor adalah kubu kuat kita bagaimanapun persediaan lebih rapi dan teliti dilakukan terutama dalam menangkis isu-isu yang akan timbul nanti," katanya mengulas persiapan menghadapi pilihan raya kecil Tenang, 30 Januari ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:16 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for FELDA hadapi masalah perluas tanah rancangan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]