Tema UMNO Dahulukan Rakyat DiPerkasa 2011 – Ahmad Maslan
1:15 PM
KUALA LUMPUR, 2 Jan – Slogan “Umno Dahulukan Rakyat” akan diperkasakan pada 2011 bagi memberi mesej jelas bahawa Umno sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam hal pembangunan rakyat dan negara, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Pelaksanaannya akan digiatkan melalui program Juara Rakyat yang akan dianjurkan sepanjang tahun dan disuntik dengan “gaya baru” dengan tema berbeza setiap bulan, katanya.
“Tema (program Juara Rakyat) untuk bulan Januari ialah pendidikan dan program ini akan bemula dengan gaya baru dengan mengadakan ceramah juara rakyat ketika aktiviti sedang berjalan.
“Ianya tidak seperti biasa yang hanya melibatkan pameran dan lawatan sahaja seperti sebelum ini dan ini dilakukan bagi memberikan penerangan yang jelas kepada peringkat akar umbi,” katanya.
Program Juara Rakyat pada bulan Februari akan membawa tema “kebajikan” sebelum diteruskan dengan tema-tema lain selepas itu, katanya.
“Kita sasarkan minimum kita akan adakan satu program Juara Rakyat di semua bahagian bermula tahun ini,” katanya.
Tahun lepas, Umno berjaya menganjurkan 2,000 program Juara Rakyat di seluruh negara, katanya.
Ahmad berkata Umno juga mahu memberikan mesej yang jelas kepada rakyat bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) sentiasa mahu menjadi pilihan utama mereka untuk pembangunan ekonomi dan sosial.
“Kita akan jelaskan misi kita untuk menjadi juara di hati rakyat, sedia berbakti di barisan hadapan demi rakyat dan sentiasa mencari yang terbaik untuk diberikan kepada mereka,” katanya.
selamat thn baru 2011..semoga perjuangan terus terlaksna hidup umno hidup melayu