FELDA BANKRAP JIKA SERAH 341,000 HEKTAR TANAH


Felda bankrap jika serah 341,000 hektar tanah

KUALA LUMPUR 16 Jun – Felda akan bankrap sekiranya 341,000 hektar tanah milik agensi itu yang diuruskan Felda Plantations Sdn. Bhd. diserahkan kepada generasi kedua dan ketiga seperti yang dicadangkan pembangkang dalam Buku Jingga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda juga tidak akan memperoleh peruntukan kewangan sebanyak RM1.6 bilion setiap tahun yang merupakan hasil daripada tanah tersebut.

Menurutnya, menerusi peruntukan itu, ia digunakan bagi membayar gaji 23,000 pekerja dan 60,000 pekerja ladang Felda kerana kerajaan tidak lagi memberikan bajet kepada agensi tersebut.

“Sekiranya 341,000 hektar tanah itu dibahagikan kepada 1.6 juta generasi Felda, setiap seorang daripada mereka hanya akan menerima 0.4 hektar sekali gus memudahkan tanah itu dijual tidak lama kemudian dan mengakibatkan mereka hilang pendapatan.

“Perlu juga diketahui bahawa satu pertiga daripada 341,000 hektar tanah itu berada di Sabah dan saya percaya rakyat Sabah tidak gembira sekiranya tanah mereka diberi kepada peneroka dari Semenanjung,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu pada sesi soal jawab lisan, Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) dalam soalan tambahannya menanyakan mengenai untung dan rugi kepada Felda sekiranya cadangan dalam Buku Jingga supaya tanah yang dimiliki oleh Felda Plantations diberikan kepada semua anak peneroka generasi kedua dilaksanakan.

Soalan itu bagaimanapun tidak dijawab kerana tidak dibenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pandikar memutuskan demikian bagi meredakan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang ekoran soalan Ismail itu.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) pada sesi soal jawab lisan, Ahmad berkata, sehingga 31 Mei lalu, Felda telah mengeluarkan sebanyak RM3.55 bilion daripada RM6.5 bilion pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jumlah itu bagi membiayai program tanam semula kebun peneroka, membiayai projek perumahan warga Felda, membiayai program Gedung Makanan Negara dan membiayai pembelian syarikat Malayan Sugar Manufacturing Holdings Bhd. (MSM),” katanya.

Pada tahun 2010, katanya, bayaran balik KWSP sebanyak RM99.69 juta telah dilunaskan dan anggaran bayaran balik pada tahun ini iaitu RM269.44 juta juga akan ditunaikan.

“Pinjaman ini tidak sama sekali membebankan malah menguntungkan semua peneroka. Felda juga mempunyai rekod cemerlang dalam bayaran balik pinjaman.

“Felda pernah meminjam RM4.975 bilion daripada kerajaan, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Tabung Kuwait dan Tabung Saudi, kesemua pinjaman itu telah dibayar balik pada 2000, mencipta rekod 14 tahun lebih awal daripada jadual pembayaran sepatutnya,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 4:53 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for FELDA BANKRAP JIKA SERAH 341,000 HEKTAR TANAH

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]