YAYASAN RESTU, KUMPULAN UTUSAN MARTABATKAN JAWI

SHAH ALAM 16 Jun - Yayasan Restu dan Kumpulan Utusan hari ini bersetuju menjalin kerjasama dalam usaha memartabatkan tulisan jawi serta membudayakan kesenian al-Quran dan Islam di negara ini.

Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, kerjasama itu meliputi publisiti untuk program pihaknya dalam akhbar, portal dan majalah terbitan Kumpulan Utusan manakala syarikat tersebut diberikan kepercayaan mencetak al-Quran edisi wakaf.

Beliau berkata, Kumpulan Utusan juga akan membantu promosi Akademi Jawi dan Kaligrafi menerusi segmen Mari Belajar Khat dalam Utusan Melayu Mingguan, membuat hebahan nombor khidmat pesanan ringkas (SMS) wakaf al-Quran dan pembelajaran jawi dan al-Quran dalam Utusan Online.

''Kita bercadang untuk memeterai kerjasama secara rasmi semasa Pelancaran Dana Wakaf Yayasan Restu bersama Kumpulan Utusan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 12 Julai ini.

''Kerjasama ini amat tepat memandangkan Kumpulan Utusan memperjuangkan tulisan jawi dan merupakan satu-satunya penerbit akhbar jawi di negara ini dan Yayasan Restu pula merupakan pusat manuskrip al-Quran dan jawi negara," kata beliau di Kompleks Taman Seni Islam di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas taklimat sempena lawatan pegawai pengurusan tertinggi Utusan Melayu (M) Berhad ke Yayasan Restu.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan selaku Pemegang Amanah Yayasan Restu.

Antara pengurusan kanan Kumpulan Utusan yang hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Othman Mohamad.

Abdul Latiff berkata, pihaknya juga amat berpuas hati dengan hasil kerja Kumpulan Utusan melalui anak syarikatnya Utusan Printcorp Sdn. Bhd. yang telah mencetak 20,000 al-Quran Mushaf Malaysia dan terjemahan sebelum ini.

''Kita yakin dengan permintaan yang tinggi untuk al-Quran Mushaf Malaysia dan terjemahan, kita akan mengulang cetak dari semasa ke semasa dengan Kumpulan Utusan," katanya.

Sementara itu, Mohamed Hashim berkata, apa yang dilakukan Yayasan Restu dalam memartabatkan tulisan jawi sekali gus menjaga khazanah bangsa Melayu serta agama Islam selama ini sungguh mulia dan amat mengagumkan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya bersedia dan amat berbangga dapat bekerjasama dengan Yayasan Restu.

''Kita akan menubuhkan satu kumpulan untuk berbincang dalam merealisasikan kerjasama ini dan kita anggap program wakaf al-Quran sebagai satu tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat Islam," kata beliau.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 5:01 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for YAYASAN RESTU, KUMPULAN UTUSAN MARTABATKAN JAWI

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]