Kembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO


TAMPIN 17 Mei – Semua ahli UMNO diminta mempertingkatkan usaha mengembalikan keyakinan rakyat khususnya kaum Melayu terhadap parti.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, matlamat berkenaan boleh dicapai sekiranya ahli UMNO bergerak cergas mendampingi rakyat menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Ketua UMNO Bahagian Tampin memberitahu, ahli-ahli UMNO sewajarnya memberi keutamaan pada perjuangan membela hak dan nasib bangsa Melayu.

‘‘Kita perlu mendengar kehendak orang Melayu secara keseluruhannya kerana bukan ahli UMNO sahaja yang akan mengundi pada pilihan raya nanti,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-63 UMNO peringkat Parlimen Tampin dan Dewan Undangan Negeri Gemas di Kampung Ulu Ladang, Gemas dekat sini semalam.

Hadir sama Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Tampin, Zainab Nasir.
Shaziman menambah, ahli-ahli UMNO diingatkan agar tidak menganggap diri mereka sebagai golongan yang terlalu istimewa sekiranya tidak berjaya mempertahankan hak orang Melayu.
‘‘Jangan anggap diri kita terlalu istimewa kerana mudah mendapat peluang atau kedudukan. Kita tidak mahu ahli-ahli UMNO bertepuk dan bersorak di lobi hotel atau di dalam dewan sedangkan matlamat utama perjuangan parti diabaikan.

‘‘Menang sorak tidak membawa sebarang makna jika UMNO kalah dalam pilihan raya kecil,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Shaziman, para pemimpin UMNO hendaklah sentiasa peka dengan naluri ahli-ahli parti serta mendengar pandangan dari peringkat akar umbi.
Jelas beliau, setiap pemimpin UMNO tidak sepatutnya berpegang pada tanggapan bahawa mereka lebih tahu tentang semua perkara berbanding ahli-ahli parti yang lain.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:03 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Kembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]