Boikot pilihan raya kecil - Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mei - Barisan Nasional (BN) digesa memboikot pilihan raya kecil yang mungkin diadakan lagi pada masa depan jika didapati ia 'diatur' oleh pihak pembangkang dan bukannya disebabkan faktor kematian wakil rakyat atau kerana perintah mahkamah.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, BN perlu berpolitik mengikut caranya tersendiri dan tidak harus terpedaya dengan perangkap pembangkang yang menjadikan siri pilihan raya kecil sebagai medan membina imej mereka.

"Pembangkang menggunakan siri pilihan raya kecil di kawasan yang memang dikuasai oleh mereka sebagai strategi membina imej dan akan mengeksploitasi kemenangan yang sememangnya dijangka menjadi milik mereka bagi melemahkan BN.
"Maka, BN perlu menggunakan pendekatan tidak bertanding sebagai satu strategi agar kita tidak termasuk dalam perangkap mereka selain mengelakkan pembaziran wang rakyat dan masa kerajaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ketetapan yang diambil oleh BN untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.
Terdahulu Ahmad mengadakan lawatan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang merupakan sebahagian daripada siri lawatan beliau terhadap semua pengamal media di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, buat masa ini tiada ketetapan sedemikian yang dibuat oleh Majlis Tertinggi BN.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau akan mencadangkan perkara tersebut dalam kadar segera.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, jentera penerangan UMNO di semua cawangan di seluruh negara diarahkan sekurang-kurangnya melaksanakan satu aktiviti penerangan setiap bulan.
Langkah itu bertujuan membolehkan 60,000 jentera itu yang sebelum ini 'tidur' berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab menjelaskan dasar dan sumbangan kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Tegasnya, arahan itu perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan kerajaan hanya mempunyai masa selama tiga tahun lagi sebelum berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Buat permulaan kami memberi arahan supaya semua jentera penerangan melaksanakan sekurang-kurangnya satu aktiviti sebelum ia ditingkatkan dari semasa ke semasa.
"Jika semua jentera penerangan yang mempunyai kekuatan 60,000 orang ini memainkan peranan masing-masing, UMNO dan BN pada bila-bila masa bersedia untuk mengalahkan pembangkang," jelasnya.

Menurut Ahmad, terdapat 20,000 jentera penerangan di peringkat cawangan parti selain 18,000 Ketua Penerangan Wanita, 15,000 Ketua Penerangan Pemuda dan 7,000 Ketua Penerangan Puteri.

Bagi tujuan itu, Ketua Penerangan UMNO itu berkata, beliau akan turun padang ke semua bahagian untuk berjumpa dengan ketua penerangan bahagian dan mengarahkan mereka mengaktifkan jentera masing-masing.
Menurutnya, setakat ini beliau melawat 10 daripada 191 bahagian UMNO serta mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Penerangan UMNO di lima negeri iaitu Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Tambahnya, jika jentera penerangan UMNO gagal bertindak untuk memberikan penerangan dengan efisien kepada akar umbi, bermakna masyarakat tidak dapat melihat sumbangan kerajaan walaupun telah jutaan ringgit dibelanjakan untuk kepentingan rakyat.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:00 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Boikot pilihan raya kecil - Ahmad

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]