PKR menyalahgunakan proses demokrasi negara


KUALA LUMPUR 19 Mei - Langkah Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti merupakan satu isyarat kepada rakyat bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyalahgunakan proses demokrasi di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab BN terpaksa bertindak sedemikian supaya rakyat faham mengenai permainan politik PKR yang sengaja diada-adakan itu.
Beliau berkata, BN tidak ada masalah untuk menyertai pilihan raya kecil tetapi ia mestilah berasaskan kepada sebab munasabah seperti kematian dan bukannya melalui siri peletakan jawatan.
''Saya percaya pucuk pimpinan akan bersetuju (bertanding) sekiranya berlaku kematian seperti di Bukit Gantang. Isu sekarang bukannya penyandang meninggal dunia tetapi meletak jawatan.
''BN tidak mahu perkara ini menjadi satu trend dan ini yang cuba dilakukan oleh PKR. Mereka sebenarnya mempermainkan mandat rakyat atas nama demokrasi. Budaya ini harus dihapuskan kerana yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Dewan Tertinggi BN semalam memutuskan untuk tidak meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini kerana 'ia hanyalah satu permainan politik pembangkang'.
Keputusan itu dicapai sebulat suara pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahmad berkata, selain itu, tindakan BN itu juga bertujuan mengelakkan pembaziran wang rakyat kerana setiap kali pilihan raya kecil diadakan sama ada Parlimen atau DUN akan melibatkan kos yang tinggi.
''Cuba bayangkan dalam tempoh setahun sebulan iaitu sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu, terdapat dua pilihan raya kecil diadakan di kawasan Permatang Pauh, termasuk kawasan Penanti dan semuanya atas sebab letak jawatan.
''Bukankah kesemua pilihan raya ini menggunakan wang rakyat. Saya yakin atas pertimbangan ini yang membuatkan BN mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan, Ahmad menegaskan, keputusan BN itu bukan bermaksud menghukum rakyat dan juga bukan menunjukkan BN mengalah kepada PKR.
''BN akan tetap membela rakyat walaupun mereka berada dalam kawasan pembangkang, cuma dalam isu ini BN tidak mahu termasuk jerat pembangkang,'' katanya lagi.
Mengenai tuduhan bahawa BN akan menaja calon bebas bertanding menentang PKR, beliau dengan tegas berkata, BN tidak akan melakukan perkara tersebut.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:25 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for PKR menyalahgunakan proses demokrasi negara

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]