Gagasan 1Malaysia terus perteguh dasar kerjasama pelbagai kaum untuk kebaikan negara pada masa depan

(Dipetik daripada rencana Berita Harian,oleh: Datuk Rahman Sulaiman)

SEPERTI dijangka, pakatan parti pembangkang yang menamakan diri mereka Pakatan Rakyat akhirnya menolak mentah-mentah idea penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan sendiri oleh salah seorang pemimpin mereka, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang. Sekali gus, keputusan yang dicapai pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Isnin lalu menimbulkan kekecewaan yang amat mendalam di kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang sebelum ini melihat konsep itu sebagai permulaan kepada usaha memupuk perpaduan Bumiputera sebagai prasyarat utama ke arah pencapaian perpaduan nasional yang lebih bermakna dan mapan. Penolakan ini jelas memperlihatkan respons politik partisan kepada satu idea yang bukan partisan tetapi mengutamakan kepentingan masa depan negara dan rakyat apabila ia disulami dengan tuduhan bahawa idea kerajaan perpaduan itu adalah fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.
Ini adalah satu kejanggalan ketara kerana semua orang tahu bahawa idea penubuhan kerajaan perpaduan atau perbincangan mengenai perpaduan itu bukan datangnya daripada Umno. Percubaan untuk menyembunyikan kejanggalan itu dengan mempelawa Barisan Nasional (BN) membincangkan isu membabitkan kepentingan negara dan rakyat seperti isu pemulihan ekonomi dan sebagainya tidak dapat menyembunyikan perkara ini. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menolak rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar mereka bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani krisis ekonomi yang dihadapi sekarang ketika beliau membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat April lalu. Ini semua berlaku kerana Pakatan Rakyat terlalu yakin bahawa mereka pasti akan menguasai Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang dengan Anwar sendiri sudah pun menamakan dirinya sebagai 'Perdana Menteri yang sedang menunggu'.
Memang betul dalam keadaan sekarang, parti yang beliau ketuai, Parti Keadilan Rakyat (PKR), mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berbanding DAP dan Pas, dan dengan itu berhak untuk bercita-cita menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka menang. Tiada siapa dapat menjamin bahawa kedudukan yang sama dapat dipertahankan selepas pilihan raya umum akan datang andai pun secara kumpulan mereka dapat menguasai Parlimen. Sukar untuk diramalkan apakah perasaan pemimpin dan anggota Pas kalau mereka memperoleh kerusi terbanyak. Lebih rumit lagi untuk dicongak apakah perasaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan pengikut beliau andainya parti mereka yang memenangi kerusi terbanyak. Semua ini adalah resipi segar yang mampu menjanjikan ketidakstabilan masa depan negara serta menggugat formula perkongsian kuasa berdasarkan komposisi kaum yang sejak lebih 50 tahun lalu berjaya mengekalkan keamanan dan membawa negara ke tahap kemakmuran yang dinikmati sekarang. Sebaliknya, BN yang struktur organisasi dan kepemimpinannya sudah ditetapkan dan diterima dengan Umno sebagai parti tulang belakang, percaya formula perkongsian kuasa diamalkan sekarang masih relevan dan perlu dipertahankan.
Parti itu juga akur bahawa selepas berkuasa lebih separuh abad, terdapat keperluan untuk pengubahsuaian sama ada dari segi pendekatan politik atau dasar pemerintahan untuk memenuhi kehendak dan hasrat rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri adalah satu-satunya agenda besar untuk mencapai perpaduan nasional melalui 'penyatuan dalam kepelbagaian.' Seperti yang cuba dijelaskan dalam ruangan ini melalui dua siri rencana atas tema yang sama sejak dua minggu lalu, negara tidak mempunyai opsyen lain melainkan meneruskan pendekatan dan keputusan politik yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu. Hakikat bahawa penduduk negara ini terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan budaya, agama dan cara hidup berbeza bukan kesilapan pemimpin sekarang. Ia adalah realiti daripada peninggalan sejarah. Bahawa apabila negara mencapai kemerdekaan, pemimpin kaum ketika itu memilih konsep penyatuan sebagai prasyarat pembinaan negara bangsa dan bukan asimilasi seperti diamalkan negara jiran Indonesia, Thailand dan Filipina dan lain-lain juga bukan kesalahan pemimpin sekarang. Ini perlu difahami semua lapisan masyarakat, terutama generasi pasca merdeka daripada pelbagai kaum. Mereka tidak perlu mempersoalkan sistem yang sudah diwarisi, apa lagi untuk cuba merombaknya. Apa yang perlu dilaksanakan sekarang ialah untuk menambahbaik lagi sistem terbabit dari semasa ke semasa. Tentu inilah rasionalnya kenapa Najib dan pemimpin Umno lain mengalu-alukan dengan hati terbuka cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang diajukan Hadi itu. Pastinya cadangan berkenaan, kalau terlaksana, mampu memperkukuhkan sistem pemerintahan sedia ada untuk faedah rakyat dan negara. Bagaimanapun, apabila pembangkang menolak konsep ini, ia tidak akan mendatangkan masalah kepada Umno dan BN. Cadangan itu tidak datang daripada Umno atau BN. Dengan kedudukannya sekarang pun, BN masih kuat untuk melaksanakan pelbagai rancangan dan dasar yang sudah sedia diatur di bawah program transformasi nasional yang diumumkan. Bergerak ke hadapan, walaupun pembangkang meminta polemik mengenai kerajaan perpaduan itu dihentikan berikutan keputusan penolakan mereka, ini tidak bermakna konsep itu sudah berkubur. Ia tetap subur dalam benak pemikir politik yang mahukan sesuatu terbaik untuk negara demi kesejahteraan generasi akan datang. Seperti kata Najib, apa yang akan berlaku pada masa akan datang tiada siapa yang tahu. Yang pasti ialah Umno dan BN akan tetap mengamalkan sikap terbuka dan sedia menimbang sesuatu idea yang dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Jelas Perdana Menteri: "Kita mempunyai sikap terbuka kalau sesuatu dibuat dengan tujuan mencari kebaikan dan kita masih tetap dengan pendirian sesuatu yang baik untuk negara perlu diusahakan bersama walaupun cadangan itu datang daripada pembangkang." Beliau berharap pembangkang tidak keterlaluan dalam apa juga tindakan selepas ini. Katanya dalam menguruskan perbezaan pendapat, setiap pihak perlu ada 'perasaan terhadap negara.'
(Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama )

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:26 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Gagasan 1Malaysia terus perteguh dasar kerjasama pelbagai kaum untuk kebaikan negara pada masa depan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]