Felda perlu jadi syarikat multinasional

KUALA LUMPUR 1 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sekarang adalah masanya untuk Felda menjadi sebuah syarikat multinasional (MNC) dalam bidang pertanian multi-crop di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, pelancaran Felda Global Ventures Holding (Felda Global) merupakan langkah berani agensi itu bagi menempuh cabaran global dan menjadi pemain utama dalam perniagaan berasaskan pertanian multi-crop dalam usaha menjadikan Felda sebuah MNC.
‘‘Misi utama Felda Global ialah untuk membangunkan kekuatan dalam empat bidang perniagaan iaitu pertanian, minyak dan lemak, oleochemical serta logistik di peringkat antarabangsa,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Felda Global yang menandakan bermulanya perjalanan Felda untuk mengembangkan aktiviti di luar negara dengan menetapkan pelaburan bernilai RM6 bilion dalam tempoh lima tahun di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Mohd. Bake Salleh.
Najib berkata, wawasan beliau bagi syarikat tersebut ialah agar menjadi sebuah institusi yang mempunyai modal insan yang berkepakaran, membudayakan kejayaan berprestasi tinggi dan berpegang kepada standard yang tinggi dalam nilai-nilai utama.
Ujar beliau, ahli lembaga pengarah dan pengurusan Felda Global mempunyai tanggungjawab yang mencabar bagi menukar Felda menjadi MNC bertaraf dunia serta dihormati dalam bidang pertanian multi-crop.
‘‘Dengan adanya syarikat baru ini yang merupakan sayap komersial, Felda akan lebih jelas dalam arah yang dituju serta tanggungjawab perlu dilaksanakan bagi mencapai wawasan kerajaan bagi tempoh 50 tahun akan datang.
‘‘Struktur baru ini akan membolehkan Felda melaksanakan polisi pentadbiran dengan lebih cekap dan berwibawa bagi pelaburan komersial berdasarkan kepada tadbir urus antarabangsa serta lebih jelas dalam menterjemahkan peranan serta tanggungjawab yang dipikul,” katanya.
Najib memberitahu, pengasas Felda dulu yang berani mengharung banjir, cuaca yang tidak menentu, berhadapan dengan keadaan yang merbahaya serta kawasan muka bumi yang sukar bagi meletakkan Felda dalam kedudukan yang dihormati sekarang.
Sehubungan itu, katanya, pengurusan Felda Global juga perlu tabah menempuh pelbagai cabaran yang akan dihadapi dalam usaha mencapai misi yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
‘‘Kita sekarang tinggal di dalam dunia tanpa sempadan yang mana ‘padang permainan’ telah diratakan dengan sekatan perdagangan telah dihapuskan yang menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia telah berusaha untuk melabur di luar negara.
‘‘Syarikat-syarikat ini tahu bahawa risiko yang dihadapi adalah tinggi dan keuntungan hanya bagi tempoh jangka pendek serta sederhana tetapi menyedari, untuk berjaya, mereka perlu mengerakkan inovasi dan mengadakan kerjasama yang betul bagi bersaing dalam keadaan sekarang,’’ katanya.
Najib memberitahu, Felda Global juga perlu melaksanakan perkara tersebut, jika tidak syarikat ini hanya akan beroperasi di negara sendiri dan paling buruk akan mendapati produk yang ditawarkan tidak lagi sesuai berikutan persaingan yang sengit.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:28 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Felda perlu jadi syarikat multinasional

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]