Renung di mana mula masalah perpecahan orang Melayu

Oleh AZMAN ANUARrencana@utusan.com.my

MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada Rabu lalu meluahkan kebimbangannya mengenai tahap perpecahan orang Melayu. Orang awam yang mengaku dirinya Melayu pun akan terasa perpaduan dalam kalangan Melayu sekarang dilihat terlalu lemah.
Sudah beribu kali suara menyeru orang Melayu bangkit, perkukuhkan kembali semangat perpaduan Melayu. Tetapi seruan itu sekadar berlalu pergi dan kemudian datang kembali.
Tiada reaksi bersungguh-sungguh untuk bersatu. Bertahun-tahun kita lihat usaha menyatukan Melayu terutama melalui saluran politik. Hasilnya ialah bercakaran sesama orang Melayu.
Kenapa susah sangat untuk fahami kedudukan orang Melayu sekarang? Hakikatnya orang Melayu di ambang perpecahan.
Menurut Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, Melayu kini berpecah kepada lima iaitu Melayu-UMNO, Melayu-Pas, Melayu-Parti Keadilan Rakyat (PKR), Melayu-atas pagar dan Melayu-Sabah dan Sarawak.
Tahukah apa kesan buruk jika Melayu berpecah? Tidak payah tunggu kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu sekarang jatuh, lihat pentadbiran negeri yang dikuasai oleh pemimpin bukan Melayu.
Kita patut menginsafi nasib Melayu Patani di selatan Thailand dan Melayu Moro di selatan Filipina yang bernaung di bawah kerajaan bukan Islam. Adakah perkembangan bangsa dan agama Melayu di sana terbela?
Apa yang dapat kita saksikan ialah pergolakan, pembunuhan dan keganasan yang tidak kunjung padam. Percayalah, jika kita tidak berjaga-jaga, Malaysia juga mungkin jadi begitu.
Adalah sesuatu yang merugikan jika Melayu yang mewakili 66.6 peratus atau dua pertiga penduduk negara ini bergaduh dan berpecah. Jangan ingat kuasa Melayu akan kekal selama-lamanya. Kuasa itu boleh terlepas jika ia tidak digenggam erat oleh pemimpin Melayu sendiri.
Tanda-tanda kuasa politik Melayu kian terancam dan boleh terlepas mula kelihatan. Usaha untuk perpaduan Melayu pun menerima tentangan bukan sahaja pemimpin Melayu malah bukan Melayu mahu 'tumpang semangkuk.'
Sebenarnya tidak ada salahnya orang Melayu berbeza fahaman politik. Tetapi, jika taraf dan hak Melayu/Bumiputera mahu diganggu-gugat oleh bukan Melayu maka semua pemimpin Melayu/Islam patut bersatu hati dan suara.
Belum ada kajian mendakwa perpaduan sesama Melayu/Islam akan merugikan kaum lain di negara ini. Tetapi perpecahan orang Melayu dalam politik melalui pilihan raya telah menampakkan keadaan huru-hara dalam negara.
Ini terjadi kerana segelintir pemimpin bukan Melayu cuba mengambil kesempatan dengan mencetuskan tuntutan yang bukan-bukan hingga mengguris perasaan orang Melayu dan Raja-raja Melayu.
Kemelut politik selepas 8 Mac 2008 mungkin boleh dikawal jika orang Melayu tidak berpecah-belah dan diperkudakan oleh pihak tertentu.
Masalah ini patut dipulihkan kepada asal. Perpaduan orang Melayu perlu diperbetulkan di peringkat kejiranan, kemasyarakatan, daerah dan negeri.
Cuba kita renung di mana bermula masalah perpecahan orang Melayu.
Bibit-bibit perpecahan ini berlaku apabila surau dan masjid disalahgunakan untuk kepentingan politik. Inilah masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam negara ini sekarang.
Ceramah agama digunakan untuk memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin negara. Tujuannya menghasut kariah membenci pihak-pihak tertentu.
Sebagai ketua agama setiap negeri maka pihak istana wajar bertindak tegas untuk melarang surau-surau dan masjid daripada dijadikan tempat menyebarkan fitnah demi menjaga perpaduan ummah.
Dengan lima negeri berada di bawah kerajaan campuran pakatan pembangkang, sejauh mana dapat dipastikan masjid dan surau tidak menjadi tempat memecah belahkan orang Melayu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:35 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Renung di mana mula masalah perpecahan orang Melayu

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]