Rumah konsep pangsapuri Felda jimat kos

KUALA LUMPUR Jun – Cadangan pembinaan rumah berkonsepkan pangsapuri di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah bertujuan mengurangkan kos pembinaan dan mengatasi masalah kekurangan kawasan kosong.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan berkata, pembinaan rumah teres memerlukan keluasan tanah lebih besar dan kos penyediaan prasarana yang tinggi sehingga kerajaan terpaksa menanggung subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi setiap unit rumah.
Justeru itu, katanya, adalah lebih menjimatkan dan pada masa sama memberi keselesaan apabila membina pangsapuri mampu milik untuk didiami oleh generasi peneroka.
“Untuk permulaan, kerajaan bercadang membina rumah berkonsepkan pangsapuri ini di Felda Jengka 11, Pahang,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad berkata, kerajaan pada setiap masa mengkaji keperluan mengadakan lebih banyak projek perumahan untuk generasi Felda di tanah rancangan di seluruh negara.
Katanya, ia bertujuan membantu kumpulan sasar memiliki rumah yang selesa berdasarkan kepada harga mampu milik.
Baru-baru ini, katanya, kerajaan mengumumkan enam lagi projek perumahan yang akan dilaksanakan di Jengka 11, Jengka 19, Chini 3 dan Triang 3 di Pahang; Neram 1 di Terengganu dan Chiku 5 di Kelantan yang kesemuanya membabitkan pembinaan 1,910 unit rumah.
Sehingga kini, katanya, Felda telah melaksanakan empat projek perumahan dan satu daripadanya sedang dalam pembinaan.
Beliau memberitahu, kesemuanya berjumlah 2,119 unit rumah dan daripada jumlah itu sebanyak 830 rumah telah diduduki oleh generasi peneroka.
“Adalah diharapkan dengan pembinaan lebih banyak projek perumahan ini akan membantu generasi Felda tinggal menetap di tanah rancangan dan mengurangkan penghijrahan ke bandar.
“Felda akan terus melaksanakan projek perumahan di kawasan yang sesuai bergantung kepada peruntukan dan dana yang diperoleh,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:39 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Rumah konsep pangsapuri Felda jimat kos

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]