UMNO tidak 'kecut' bertanding

KUALA LUMPUR - UMNO tidak pernah berasa 'kecut' untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan, 14 Julai ini.
Beberapa pemimpin UMNO ketika dihubungi di sini hari ini menekankan, pilihan raya kecil itu mempunyai situasi berbeza dengan Penanti, justeru parti itu tetap bertanding di kawasan berkenaan walaupun sebelum ini ia dikuasai Pas.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, sejarah kemenangan Pas dengan majoriti 1,352 undi tidak boleh dijadikan ukuran untuk UMNO melepaskan begitu sahaja kerusi itu kepada pembangkang.
''UMNO tidak pernah berasa 'kecut'. Kenapa ada pihak yang menyuruh kita tarik diri sedangkan situasi kali ini jauh berbeza dengan di Penanti, Pulau Pinang?'' soal beliau.
Rais diminta mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Menjana Tindakan Pemikir (Mantap), Mohd. Saiful Adil Mohd. Daud yang mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya Kecil DUN Manek Urai itu.
Semalam, Mohd. Saiful Adil dilaporkan sebagai berkata, pilihan raya kecil tersebut membazirkan wang dan tenaga jentera BN selain tidak mampu mengubah landskap politik di negeri itu.
Rais berkata, UMNO melihat Manek Urai sebagai landasan untuk parti memperjuangkan hak demokrasi dan bukan terjerat di dalam mainan politik pembangkang.
''Kerusi ini kosong akibat kematian dan bukan sengaja dilakukan oleh pembangkang untuk mainan politik. Kita akan bertanding dan terus membuktikan boleh membela rakyat di sana. Kemenangan tipis pembangkang tahun lepas bukan ukuran untuk kita tidak meneruskan perjuangan,'' ujarnya.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, tidak timbul isu pembaziran kerana pilihan raya kali ini diadakan selepas berlaku kematian wakil rakyat di sana.
Jelas beliau, masyarakat seharusnya faham situasi kali ini berbeza jika dibandingkan dengan Penanti.
''Apa yang berlaku di sana (Penanti) adalah perangkap politik dan di Manek Urai akibat kematian.
''Memang tidak akan berlaku apa-apa perubahan pemerintahan jika UMNO memenangi pilihan raya ini, namun itu bukti ada perubahan terhadap kita sendiri,'' katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan pilihan raya Manek Urai membuka peluang kepada rakyat di kawsan itu untuk memilih pemimpin baru untuk mereka.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai memberi peluang kepada rakyat di kawasan itu memilih wakil terbaik untuk memimpin mereka.
''Kita nampak masyarakat di sana akan mendapat faedah dan membuka mata pengundi untuk membezakan calon BN atau Pas sendiri.
''Ada pertandingan bermakna pengundi dapat menilai mana satu wakil yang lebih baik daripada yang seorang lagi,'' katanya.
Mengulas isu yang sama, Timbalan Pengerusi Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Datuk Rais Zainuddin melihat penyertaan calon BN sebagai usaha membela rakyat Manek Urai dari segala segi termasuk ekonomi.
''Pembangunan ekonomi adalah penting kepada penduduk di sana. Kita memberi gambaran ini untuk melihat pembangunan negara yang lebih tersusun selepas pilihan raya itu,'' ujarnya.
Oleh itu, katanya, semua sedia maklum tiada sebarang perubahan terhadap kerajaan negeri seandainya BN memenangi pilihan raya itu.
Apa yang penting, tegasnya, BN akan melaksanakan pembangunan dan membela semula rakyat di sana seandainya diberi kemenangan pada pilihan raya itu kelak.
''Isunya bukan membazir atau menghabiskan wang. Isunya adalah menjana semula ekonomi di sana dan membela rakyat Manek Urai sendiri.
''Kita mahu fokus kepada kemajuan dan ia adalah aspek terpenting yang harus difikirkan rakyat di sana jika BN memenangi kerusi itu,'' jelasnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:38 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for UMNO tidak 'kecut' bertanding

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]