83 nelayan Parlimen Pontian kini lebih selamat cari rezeki

PONTIAN: Selama lebih 20 tahun sebahagian nelayan di kawasan Parlimen Pontian keluar menangkap ikan tanpa lesen yang sah sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai kemungkinan termasuk ditahan manakala hasil tangkapan dirampas. Lebih membimbangkan ialah keselamatan diri kerana tanpa lesen, bermakna mereka tidak dilindungi insurans.
Bagaimanapun, penantian yang terlalu lama itu berakhir baru-baru ini apabila kerajaan menerusi Jabatan Perikanan mengeluarkan 83 lesen untuk nelayan di kawasan Parlimen Pontian. Mereka yang menerima lesen itu membabitkan 19 nelayan dari pangkalan nelayan Benut, Sanglang (tujuh orang), Ayer Baloi (22 orang), Pulai Sebatang (enam orang), Api-Api (tiga orang), Pontian Besar (10 orang) dan Pontian Kecil (16 orang). Ini menjadikan seramai 336 nelayan di Pontian kini mempunyai lesen menangkap ikan yang sah dan membolehkan mereka menangkap ikan di laut dalam.
Pegawai Perikanan daerah, Md Sidek Adnan, berkata pengeluaran lesen dibekukan sejak 1982 di situ tetapi kini diluluskan semula sejajar dengan slogan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’ Selain itu, katanya seramai 866 nelayan juga memiliki lesen sampan yang beroperasi di pesisir pantai bahagian Pontian, dan 88 lesen pukat tunda beroperasi di daerah Pontian berbanding 1,040 lesen pukat tunda yang pernah dikeluarkan untuk daerah itu satu ketika dulu. Dalam pada itu, katanya, nelayan mesti mengutamakan keselamatan diri ketika ke laut dengan memakai jaket keselamatan, dan tidak menjadikan jaket keselamatan yang ada sebagai perhiasan. “Keadaan di laut amat berbeza dengan darat. Oleh itu mereka mesti sentiasa berhati-hati. Jaket keselamatan mesti dipakai,” katanya pada majlis penyampaian lesen khas bagi kawasan Parlimen Pontian, di Pangkalan Nelayan, Ayer Baloi, di sini, baru-baru ini.
Ketua konteks nelayan kawasan Air Baloi, Abu Bakar Mohammad, 43, ketika ditemui melahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan memperjuangkan nasib nelayan, khususnya di kawasan Parlimen Pontian. Dengan adanya lesen itu, katanya, nelayan terbabit akan berasa lebih selamat ketika berada di laut kerana mereka tidak akan ditahan dan hasil tangkapan tidak akan dirampas. "Walaupun sudah sekian lama memohon lesen, akhirnya penantian itu membuahkan hasil. Kita berasa sangat lega dengan pengeluaran lesen ini... keselamatan pun lebih terjamin," katanya. Katanya, beliau juga bersyukur kerana kerajaan memberikan bantuan sara hidup RM200 kepada setiap nelayan setiap bulan, dan menurutnya hanya nelayan di Malaysia yang menerima peruntukan seperti itu yang menandakan keprihatinan kerajaan terhadap nasib nelayan. Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan meminta nelayan yang baru memperoleh lesen itu supaya memanfaatkan lesen berkenaan dengan berusaha gigih meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. Katanya, mereka juga tidak harus hanya bergantung kepada hasil tangkapan laut semata-mata bagi menyara kehidupan seharian, sebaliknya menceburi aktiviti hiliran berasaskan hasil laut serta juga bercucuk tanam dan menternak sebagai kegiatan sampingan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:57 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 83 nelayan Parlimen Pontian kini lebih selamat cari rezeki

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]