Persidangan Bahagian UMNO bincang pindaan perlembagaan parti

KUALA LUMPUR 17 Julai - Persidangan UMNO peringkat bahagian yang akan berlangsung selama sebulan bermula semalam antara lain akan membincangkan cadangan meminda perlembagaan parti seperti yang dipersetujui pada persidangan peringkat cawangan sebelum ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap agar persidangan peringkat bahagian akan berjalan lancar mengikut peraturan dan menjadi platform penghubung antara cawangan yang telah selesai bersidang bagi dibawa ke peringkat atasan.
"Dengan cadangan pindaan yang dilakukan secara musyawarah, bermakna mandat untuk memilih pemimpin pusat akan diserahkan ke tangan lebih ramai ahli UMNO sehingga di peringkat akar umbi, sepertimana cadangan sebelum ini," katanya ketika dipetik dalam laman web rasmi umno-online.com
Sebanyak 191 bahagian UMNO layak mengadakan persidangan tahunannya bermula hari ini sehingga 16 Ogos dan sebelum ini telah berlangsung persidangan peringkat cawangan selama lebih sebulan bermula 15 Mei hingga 30 Jun lalu.
Di KEDAH, hari ini berlangsung mesyuarat perwakilan sayap Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO manakala mesyuarat bahagian bermula 1 Ogos oleh Bahagian Alor Setar.
Di TERENGGANU, UMNO Bahagian Besut akan mengadakan mesyuarat perwakilannya esok adalah antara bahagian terawal yang bersidang.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan ketika dihubungi hari ini mengesahkan akan merasmikan masyuarat perwakilan UMNO Bahagian Besut itu esok.
Tengku Adnan berkata, sebelum ini persidangan peringkat cawangan telah menjadi satu ruang terbuka kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi bagi membincangkan permasalahan yang berlaku di samping menilai kembali landasan perjuangan yang dilakukan pada tahun sebelumnya termasuk cadangan untuk meminda perlembagaan parti.
Katanya, cadangan tersebut dibuat sebagai langkah supaya parti mempunyai proses yang lebih telus, terbuka dan demokratik dalam soal pemilihan sekali gus membantu memulihkan parti daripada cengkaman politik wang yang melanda setiap kali musim pemilihan.
Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mencadangkan kepada ahli-ahli UMNO supaya menggunakan mesyuarat sama ada di peringkat cawangan dan bahagian sebagai platform bagi menyuarakan dan menyampaikan pendapat dalam pindaan perlembagaan tersebut. - BERNAMA

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:55 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Persidangan Bahagian UMNO bincang pindaan perlembagaan parti

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]