Henti sengketa, fokus persaingan luar - Ahmad Maslan

ALOR GAJAH 26 Julai - Persengketaan antara UMNO dan Pas perlu dihentikan segera bagi membolehkan kedua-dua parti sepakat dalam menghadapi cabaran di peringkat global.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membuka pintu kerjasama dengan UMNO perlu disokong sepenuhnya demi menghentikan sengketa kedua-dua parti sejak sekian lama.
Menurutnya, sekiranya usaha dan hasrat bekerjasama yang dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan itu terlaksana, ia bukan sahaja menguntungkan masyarakat Melayu di negara ini namun keseluruhan rakyat Malaysia.
''Apabila UMNO dan Pas dapat duduk semeja, ia merupakan satu rahmat dan sinar harapan terhadap persengketaan yang wujud sejak 1978 lagi.
''Sebenarnya, perbalahan ini timbul kerana wujud persaingan antara dua parti, namun hakikatnya, masalah kegawatan ekonomi dan masalah global kini merupakan perkara utama yang harus ditangani oleh UMNO dan Pas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Majlis Penerangan Isu-isu Semasa dan Hala Tuju Kepimpinan Negara anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, buat masa ini tidak timbul persoalan mengenai keikhlasan Nik Abdul Aziz dalam membuat cadangan tersebut.
Ini kerana katanya, apa yang penting dan perlu diutamakan ialah usaha untuk membawa perpaduan antara kedua-dua parti walaupun sebelum ini Menteri Besar Kelantan itu tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan.
''Pandangan seseorang berubah, kita jangan mempertikaikan keikhlasan beliau (Nik Abdul Aziz) itu, anggap sahaja beliau ikhlas.
''Mungkin beliau berubah hati disebabkan dua perkara iaitu selepas keputusan Pilihan Raya Kecil Manek Urai yang mana nampak jelas kedudukan orang Melayu di sana terbelah dua.
''Lagi satu, ada pihak tertentu atau di kalangan pemimpin Pas sendiri yang berbincang dengan beliau mengenai soal perpaduan dengan UMNO," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:21 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Henti sengketa, fokus persaingan luar - Ahmad Maslan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]