Lantik anak peneroka


RAUB 18 Julai - Generasi baru Felda yang berkelayakan perlu dilantik menduduki jawatan penting dalam syarikat di bawah Felda Holding.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan (gambar) berkata, sudah sampai masanya anak peneroka yang berpendidikan, aktif dan memahami aspirasi kerajaan, diletakkan dalam pengurusan tertinggi agensi berkenaan.
"Pada asasnya, kita mahu lebih ramai generasi baru Felda mendapat tempat dalam pengurusan tertinggi Felda Holding dan anak syarikatnya pada masa depan selari dengan misi 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.
"Individu yang mempunyai rekod kepimpinan di peringkat nasional, berpendidikan, inovatif dan kreatif serta berketerampilan perlu diberi peluang menyumbang idea untuk membina Felda menjadi pelaku global di arena antarabangsa," katanya.
Ahmad menyatakan demikian kepada Mingguan Malaysia selepas merasmikan Karnival Generasi Bebas Jenayah dan Pelancaran Rakan Muda Belia Felda Pahang di Felda Tersang Raub di sini hari ini.













Katanya, di kalangan generasi baru Felda, ramai yang berkelayakan untuk diketengahkan bagi mengisi jawatan penting dalam pengurusan Felda Holding atau anak syarikat Felda yang beroperasi di seluruh negara.
Pada masa ini, katanya, bilangan anak peneroka dilantik menduduki kerusi Ahli Lembaga Pengarah dalam anak syarikat Felda sangat berkurangan sedangkan ramai yang berkelayakan. Malah, katanya, ramai generasi baru Felda kini berjaya dalam bidang profesional seperti kedoktoran, peguam dan jurutera. Perkara tersebut, katanya, akan dibincangkan dalam mesyuarat khas kepimpinan tertinggi Felda bulan depan.
"Hala tuju Felda adalah membina generasi baru warga Felda yang berjaya, di samping memperkukuhkan budaya organisasi Felda,'' katanya.
Katanya, sumbangan secara langsung daripada generasi Felda untuk memimpin dan menerajui organisasi bertaraf dunia itu perlu bagi mencapai matlamat dan hala tuju tersebut.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 5:48 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

2 comments for Lantik anak peneroka

  1. Salam YB

    Ada rasa suatu kebanggaan apabila membaca idea dan saranan YB ini di akhbar.Saya bukanlah anak peneroka Felda hatta jauh sekali warga Felda.
    Apa yang menyentuh jiwa saya adalah cadangan, kehendak serta wawasan YB ini adalah satu pengiktirafan di peringkat menteri terhadap anak peneroka Felda - generasi baru Felda, yang tidak pernah disuarakan oleh mereka yang diberi amanat terhadap pembangunan dan kemajuan Felda.
    SYABAS! YB mendekati rakyat yang memerlukan perhatian!

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]