Pokok Getah Dominasi Manik Urai?

KUALA KRAI, 5 Julai (Bernama) -- Masalah dan pembelaan nasib penoreh getah dijangka antara isu tempatan yang akan mendominasi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai yang akan bermula Isnin ini.Isu di peringkat negeri dan nasional seperti tuntutan royalti minyak dan pembalakan di kawasan hutan simpan dijangka tidak akan memberikan impak besar kepada 12,293 pengundi di kawasan itu.Ini kerana 80 peratus daripada kira-kira 30,000 penduduk Manik Urai, kawasan perkampungan Melayu yang berselerakkan di sepanjang Jalan Kuala Krai-Gua Musang itu, bergantung kepada pokok getah sebagai punca rezeki."Orang Perak kata, kita kena lara (ikut arus) dengan isu-isu lokal yang dekat di hati rakyat. Dalam kes Manik Urai keutamaan perlu diberi kepada pokok getah sebab banyak penduduknya menoreh getah," kata penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussein.Manik Urai, terletak kira-kira 110km dari Kota Baharu, dikategorikan kawasan luar bandar dengan Jalan Kuala Krai-Gua Musang menjadi penghubungan utamanya dengan dua bandar Kuala Krai di utara dan Gua Musang di selatan.Kawasan DUN yang terletak di bawah jajahan Kuala Krai itu juga berada di bawah pemantauan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan RISDA yang menumpukan kepada industri getah dan kelapa sawit.Projek RISDA seperti tanaman semula yang memberikan bantuan modal dan kepakaran mungkin menjadi faktor pertimbangan kepada anak tempatan kecuali lebih 1,000 pengundi yang merantau.Dua bulan lalu, kawasan kampung-kampung Melayu dengan kebun-kebun getah antaranya di Kampung Bukit Budu itu di Manik Urai, tiada dalam radar umum kecuali kawasan perkelahan air terjun Lata Rek yang terkenal di kalangan penduduk negeri pimpinan PAS sejak 1990.Namun kawasan DUN itu akan menjadi tumpuan seluruh negara sempena penamaan calon Isnin yang dijangka menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Umno dan PAS, masing-masing diwakili Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan bendahari Pas Kuala Krai, Fauzi Abdullah, 50.Tuan Aziz adalah bekas pegawai KESEDAR, manakala lawannya pemborong ikan.Penamaan calon itu akan diadakan di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, pagi esok dengan pengundiannya pada 14 Julai depan. Pilihan raya kecil itu diadakan selepas kematian penyandangnya, Ismail Yaakob, pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.Selain dijangka mendominasi isu tempatan, "pokok getah" juga semakin menjadi buah mulut pengundi selepas penyokong PAS mengejek Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan yang sebelum ini datang menoreh pokok getah di Kg Bukit Budu dan Perial Baru.Namun Ahmad yang juga anak penoreh getah daripada Sungai Benut, Pontian, Johor, berkata tindakannya itu bukan sekadar lakonan politik tetapi untuk menyelami permasalahan sebenar dialami penduduk Manik Urai.Hasil tinjauan beliau di kawasan itu, Ahmad telah mencadangkan supaya KESEDAR dan RISDA menetapkan peratusan pendapatan 60 peratus kepada pemilik kebun dan 40 peratus kepada penoreh getah, yang kebanyakannya warga Thailand."Kalau di Temalir saya tengok taukeh (pemilik kebun getah) naik (motosikal) Honda Cup tetapi penoreh getah (yang mengambil upah) naik (kereta) Honda Accord... Ini tak betul," katanya.Cadangannya itu untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah. Sebelum ini peratusan pendapatan ditetapkan sebanyak 50 peratus kepada pemilik kebun dan 50 peratus kepada penoreh warga asing.Ahmad berkata Umno juga akan mengetengahkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed sebagai ikon pilihan kepada rakyat selain tokoh ulama yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Jika Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan disanjungi rakyat negeri itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga layak diangkat sebagai ikon kerana pengalamannya di peringkat persekutuan dan jasanya kepada negeri itu."Saya kira strategi (ikon lawan ikon) tiada masalah. Ini strategi masing-masing. Akhirnya rakyat akan menilai dan tentukan siapa pilihan mereka," kata seorang lagi penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff.Namun Mohammad Agus berkata politik mengagung-agungkan seseorang individu perlu dielakkan kerana apa yang lebih penting adalah perkhidmatan yang diberi kepada rakyat."Apa yang perlu kerja kuat jentera parti. Gunalah strategi apapun (jika jentera tidak kuat), tidak akan ke mana-mana," kata pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu.-- BERNAMA

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:32 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Pokok Getah Dominasi Manik Urai?

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]