'Anak emas' jika BN menang

AHMAD Maslan (kanan), Rohaizat Othman (kiri) dan ahli UMNO berkempen
dari rumah ke rumah dengan mengedarkan poster dan risalah di Permatang Pasir,
Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam


BUKIT MERTAJAM 22 Ogos - Penduduk di Permatang Pasir boleh menggunakan gelaran 'anak emas' untuk memudahkan urusan dengan Kerajaan Pusat sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil di kawasan itu.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, dengan gelaran itu juga penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh mendapatkan keutamaan dalam pelbagai urusan dengan kerajaan.
''Sebagai contoh, jika ada masalah dengan mana-mana agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita akan pastikan ia diselesaikan dengan segera kerana mereka anak emas kita.
''Selain itu, pinjaman penjaja kecil TEKUN atau Mara yang dah lama tertunggak, kita akan selesaikan segera atau pun ada antara anak-anak mereka hendak masuk universiti tetapi ada kekurangan sedikit, kami akan cuba bantu dan utamakan mereka.
''Mereka akan sentiasa menjadi lima pilihan teratas untuk kita membantu menyelesaikan masalah mereka, inilah kelebihan jadi anak emas kepada BN," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan cawangan Permatang Pasir.
Beliau bersama-sama calon BN, Rohaizat Othman mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah di kawasan itu dan bersemuka dengan penduduk di situ.
Ahmad berkata, aktiviti paling sesuai pada bulan Ramadan adalah dengan mengunjungi rumah pengundi di kawasan berkenaan.
Tambahnya, bagi menghormati bulan puasa, UMNO dan BN akan terus mengadakan ceramah dan berkempen secara berhemah sekali gus tidak menyentuh perkara yang tidak sepatutnya.
''Pada saya dalam bulan Ramadan ini kita hentikanlah ceramah bantai membantai malah kita juga sudah maklumkan kepada penceramah yang terlibat supaya tidak menyelar atau memfitnah mana-mana pihak atau personaliti.
''Kita dari dulu memang tak buat fitnah ini, kita akan terus bercerita tentang apa kita akan buat dengan konsep Permatang Pasir akan jadi anak emas Kerajaan Persekutuan, itu tema ceramah BN yang akan diadakan selepas solat tarawih.
''Bayangkanlah selepas 4,051 hari Pas memerintah tapi tiada apa pun yang telah dibuat," ujarnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 5:06 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 'Anak emas' jika BN menang

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]