Permatang Pasir Cabaran Pas Kekalkan Majoriti?

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kemenangan tipis PAS mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan pada pilihan raya kecil 14 Julai lepas, menjadikan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang bakal berlangsung tidak lama lagi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.PAS tentunya tidak mahu "trend" pengundian itu berulang di Permatang Pasir, Pulau Pinang dan pada masa yang sama tidak mahu dilihat terlalu yakin seperti di Manik Urai.Pada pilihan raya kecil Manik Urai, PAS gagal mempertahankan majoriti 1,352 undi diperolehinya pada pilihan raya umum Mac tahun lepas, walaupun peratusan keluar mengundi lebih tinggi sedikit berbanding pada pilihan raya umum lepas.Barisan Nasional (BN) berjaya mengurangkan majoriti PAS itu kepada hanya 65 undi, yang disifatkan pemerhati politik sebagai "kemenangan moral" dan petunjuk bahawa rakyat semakin menerima perubahan yang dibawa oleh parti pemerintah.Persoalannya, mampukah BN khususnya Umno menawan atau setidak-tidaknya mengurangkan majoriti kemenangan PAS di Permatang Pasir yang merupakan satu daripada tiga kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen Permatang Pauh itu?Penganalisis politik yang ditemubual Bernama berkata perkara itu bergantung kepada sejauhmana ketebalan sentimen, persepsi dan psikologi pengundi di kawasan itu."Permatang Pauh boleh dianggap kawasan pakatan pembangkang walaupun DUN Seberang Jaya dikuasai Umno," kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama di sini.Satu lagi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh ialah Penanti yang dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR).Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir perlu diadakan berikutan kematian ADUN kawasan itu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, dari PAS pada Jumaat lepas akibat serangan jantung.Ia akan menjadi pilihan raya kecil ketiga di kawasan Parlimen Permatang Pauh sejak pilihan raya umum ke-12 (PRU 12) pada 8 Mac tahun lepas.Sebelum ini, kawasan Parlimen Permatang Pauh telah menyaksikan pilihan raya kecil pada bulan Ogos tahun lepas dan pilihan raya kecil DUN Penanti pada 31 Mei lepas, ekoran tindakan wakil rakyatnya dari PKR meletakkan jawatan.Sivamurugan berpendapat sungguhpun BN agak sukar untuk menang di Pematang Pasir, beliau tidak menolak kemungkinan BN mampu mengurangkan majoriti undi kemenangan PAS di kawasan itu pada kali ini.Bagaimanapun, ia akan bergantung kepada sejauhmana parti-parti komponen BN mampu bergerak sebagai satu pasukan yang berkesan, menyelesaikan masalah dalaman, mengemukakan calon yang sesuai dengan cita rasa pengundi dan isu-isu yang dibangkitkan."Ia juga medan untuk menguji kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," kata Sivamurugan merujuk kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang baru dilantik itu.Di Manik Urai, kejayaan BN mengurangkan majoriti PAS di kawasan kubu kuatnya itu dikaitkan dengan keberkesanan jentera parti BN yang bergerak sebagai sebuah pasukan selain faktor Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed."Tok Pa (Mustapa) diterima akar umbi," kata Sivamurugan mengakui pemimpin itu berjaya menyatukan Umno Kelantan yang sebelum ini berpecah dan sering dikaitkan dengan tindakan "cah keting" atau cantas-mencantas.Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan juga berpendapat Permatang Pasir sukar ditembusi namun BN, katannya, tetap mempunyai harapan di kawasan itu berdasarkan trend pengundian "turun-naik"."Dalam politik tiada yang mustahil," kata Ahmad yang yakin pengundi mampu menilai perubahan yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak beliau mengambil alih parti dan kerajaan April lepas.Misalnya pada 2004, calon BN Datuk Adnan Ramli berupaya menggugat sokongan terhadap Allahyarham Mohd Hamdan apabila pada masa itu PAS hanya menang dengan majoriti 679 undi, berbanding majoriti besar pada tahun 1999.Bagaimanapun, pada tahun 2004 Allaryarham Mohd Hamdan menewaskan Ahmad Sahar Shuib dari BN dengan majoriti 5,433 pula. Sebelum pilihan raya umum 1999, kerusi Permatang Pasir dipegang oleh BN, contohnya pada tahun 1986, 1995 dan 1990.Dari sudut berbeza, selain menjadi kubu kuat PAS, Manik Urai dan Permatang Pasir juga mempunyai persamaan iaitu didominasi pengundi Melayu, masing-masing 99.2 peratus dan 69.4 peratus daripada pengundi keseluruhannya.Dalam perkara ini, penganalisis politik berkata peranan parti komponen MCA, Gerakan atau MIC memainkan peranan penting untuk menarik sokongan 24.5 peratus pengundi Cina dan enam peratus pengundi India.Namun apa yang pasti, pakatan pembangkang akan bekerja keras bagi memastikan majoriti undinya tidak dikurangkan jika mereka mahu terus mendabik dada pengundi masih bersama dengan pakatan itu.Bagi pemerhati politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein, pilihan raya kecil yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewat-lewatnya minggu depan itu akan menguji kekuatan parti-parti yang bertanding."Tentunya PAS jika menangpun mahu menang lebih besar dan BN jika kalah tidak mahu kalah lebih besar," kata Atory yang berkeyakinan "trend pengundian" di Manik Urai mampu beralih ke Permatang Pasir dengan perkembangan semasa.Apa yang pasti pemimpin dari pakatan, antaranya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sejak dari awal mengingatkan bahawa Permatang Pasir, "bukan laluan mudah" dan mahu PAS mengambil iktibar daripada keputusan di Manik Urai."Semua pihak perlu perbetulkan persepsi yang pakatan pembangkang boleh menang mudah di situ kerana situasi sekarang adalah 50-50," kata Guan Eng seperti dilaporkan media.Barangkali semua pihak mula menyedari, selepas apa yang berlaku sejak 8 Mac tahun lepas, rakyat sudah dapat menilai dan mampu membezakan di antara kaca dan permata.-- BERNAMA

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 3:46 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Permatang Pasir Cabaran Pas Kekalkan Majoriti?

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]