Mesyuarat khas pilih calon Khamis

PORT DICKSON: Umno Bahagian Telok Kemang akan mengadakan mesyuarat, Khamis ini bagi memilih calon yang layak bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor, Jumaat lalu. Ketuanya, Tan Sri Mohd Isa Samad, berkata pihaknya akan berbincang dan memutuskan senarai calon untuk dikemukakan kepada Badan Perhubungan Umno negeri sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk keputusan muktamad. “Kita amalkan amalan biasa dalam memilih calon seperti sebelum ini. Insya-Allah, kita akan bersidang 10 September nanti (Khamis) untuk membincangkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan Ketua dan Jawatankuasa Penerangan Umno bahagian Telok Kemang dengan Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan di pejabat bahagian itu, di sini, semalam. Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar selama 22 tahun berkata, pihaknya yakin tidak berdepan masalah untuk memilih calon kerana ramai pemimpin dalam bahagian itu layak untuk dipertimbangkan. Beliau berkata, pihaknya juga sudah bersedia untuk menjawab pelbagai isu yang akan dibangkitkan pembangkang, sama ada isu nasional, negeri dan tempatan pada pilihan raya kecil itu nanti.
Sementara itu, Ahmad berkata, walaupun DUN Bagan Pinang adalah kubu kuat Umno, pihaknya tidak mahu terlalu yakin, sebaliknya akan bekerja kuat bagi mempertahankannya. “Kita akan mengambil iktibar daripada pilihan raya kecil sebelum ini bagi merangka dan menyusun strategi terbaik bagi mempertahankan DUN berkenaan,” katanya yang sebelum itu mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Azman di Rasah Kemayan, Seremban. Azman, 54, kali pertama bertanding pada pilihan raya umum tahun lalu meninggal dunia di Hospital Pakar Seremban (HPS), akibat jangkitan dalam darah, jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:47 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Mesyuarat khas pilih calon Khamis

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]