3,579 Perumahan Warga Felda

ROMPIN 1 Nov. - Sebanyak 3,579 unit projek Perumahan Warga Felda (PWF) akan dibina di 10 tanah rancangan di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Kawasan terbabit adalah Felda Pasak dan Felda Sungai Sibul di Johor; Felda Jengka 19, Felda Triang 3, Felda Jengka 11 dan Felda Chini 3 di Pahang; Felda Chiku 5 di Kelantan, Felda Nerang 1 di Terengganu; Felda Chuping, Perlis dan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 2,331 unit merupakan rumah kos sederhana rendah berharga sekitar RM50,000 manakala 1,003 unit rumah kos rendah berharga RM35,000 dan 35 unit kedai berharga RM100,000.
Tambah beliau, tiga daripada projek tersebut iaitu Felda Pasak, Jengka 19 dan Triang 3 sudah dimulakan manakala tujuh lagi dalam proses kelulusan tapak dan melantik perunding.
"Kita jangkakan keseluruhan projek ini yang bertujuan membantu generasi kedua memiliki rumah selesa dapat diduduki pada 2011," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Warga Felda (PWF) Keratong Indah Muadzam Shah di sini semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Rompin yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datuk Mohd. Safri Abd. Aziz.
Ahmad berkata, setakat ini enam PWF melibatkan pembinaan 2,255 unit rumah telah dilaksanakan dan hanya satu masih dalam proses pembinaan iaitu di Taman Pasak Impian di Johor dengan kos keseluruhan bernilai RM86 juta.
Jelasnya, lima lagi projek terbabit yang kesemuanya di Pahang ialah di Taman Mempaga Utama (Bentong), Taman Bukit Goh Perdana (Kuantan), Taman Lepar Hilir Saujana (Kuantan) dan Taman Desa Keratong Indah (Rompin).
Sementara itu katanya, Felda turut menyediakan subsidi antara RM15,000 sehingga RM20,000 bagi membolehkan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri seterusnya menetap di tanah rancangan masing-masing.
Katanya, bagi membantu generasi kedua memiliki rumah sendiri, Felda menawarkan skim sewa beli kepada mereka yang tidak berpendapatan tetap atau tidak mempunyai slip gaji untuk membuat pinjaman bank.
Mengulas cadangan Jamaluddin supaya generasi kedua Felda yang tidak mampu membeli rumah menerusi projek PWF ditawarkan lot tanah dengan harga yang berpatutan, Ahmad berkata, Felda akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 4:31 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 3,579 Perumahan Warga Felda

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]