Anwar turut terima kebaikan – Ahmad

PONTIAN 28 Nov. – Kerajaan tidak akan menutup Biro Tata Negara (BTN) hanya kerana kebimbangan parti-parti pembangkang yang tidak memahami matlamat dan objektif sebenar penubuhannya yang telah melatih jutaan peserta.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menegaskan, ada pemimpin pembangkang sendiri yang telah menerima kebaikan daripada program itu termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya yang juga Ketua Penerangan UMNO, pemimpin pembangkang lain yang pernah mengikuti program itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.
Beliau menempelak parti-parti pembangkang kerana ‘menyerang’ BTN berikutan takut dan bimbang terhadap sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan hari ini.
‘‘Kita tidak nampak di mana asas tuduhan yang dilemparkan oleh parti pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenai program di BTN selama ini yang jelas tidak mempunyai sebarang agenda jahat seperti yang didakwa.
‘‘BTN adalah tempat bagi memupuk semangat patriotisme dan kenegaraan serta memberi latihan berteraskan sistem nilai termasuk lapan nilai aspirasi 1Malaysia,’’ katanya selepas menyampaikan sumbangan lapan ekor lembu di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Pinggan di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya BTN ditutup terus kerana mendakwa digunakan bagi menyemai rasa benci kepada DAP dan parti pembangkang lain.
Menurut Ahmad, bagi memastikan pencapaian gagasan 1Malaysia, para peserta yang mengikuti kursus BTN akan didedahkan dengan nyanyian lagu 1Malaysia serta diberikan penerangan mengenai konsep gagasan tersebut.
“BTN tidak akan menjadi penghalang kepada pencapaian gagasan 1Malaysia,’’ ujarnya.
Tambah Ahmad, lapan nilai aspirasi dalam gagasan 1Malaysia yang diterapkan ialah budaya prestasi tinggi, budaya ilmu, budaya ketetapan, budaya inovasi, integriti, ketabahan, kesetiaan dan kebijaksanaan.
Beliau menjelaskan, objektif dan matlamat gagasan 1Malaysia juga akan diterapkan kepada setiap peserta seperti yang dilakukan ketika kerajaan mula-mula memperkenalkan konsep Wawasan 2020.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:14 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

1 comments for Anwar turut terima kebaikan – Ahmad

  1. btn itu lebih kepada pemerintah tidak kepada Allah.

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]