RM40j kompaun terhadap nelayan tempatan, asing

KOTA KINABALU 22 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenakan kompaun lebih RM40 juta terhadap 611 nelayan tempatan dan asing yang melakukan pelbagai kesalahan bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah tersebut, kompaun sebanyak RM535,900 dikenakan kepada 479 nelayan tempatan, manakala RM39 juta lagi kepada 132 nelayan asing.
''Bagi nelayan tempatan, kesalahan yang dilakukan ialah mengambil awak-awak warga asing bekerja, tiada lesen dan permit, guna pukat tunda, ceroboh zon larangan dan luar kawasan.
''Kesalahan lain juga termasuk seludup minyak diesel, barang kawalan, rokok dan awak-awak yang menagih dadah. Jumlah lelongan ikan yang kita lakukan untuk tempoh tersebut iaitu sebanyak RM193,408,'' katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat APMM di sini semalam.
Katanya lagi, jumlah kompaun terhadap nelayan tempatan itu menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM644,694 pada 2008, RM1 juta (2007) dan RM99,086 (2006).
Beliau memberitahu, secara keseluruhan sejak APMM beroperasi pada 2006 hingga kini, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap nelayan tempatan lebih RM2.3 juta.
Bagi nelayan asing, tambah beliau, tangkapan tertinggi bagi tempoh yang sama adalah dari Vietnam sebanyak 61 orang diikuti Indonesia (41), Thailand (25), Filipina (2), Singapura (2) dan China (1).
Jelasnya, jumlah kompaun terhadap nelayan asing meningkat bagi tahun ini, berbeza pada tahun-tahun sebelumnya iaitu RM46 juta pada 2008, RM40 juta (2007) dan RM13 juta (2006).
Mengenai masalah pertindihan kawasan penguatkuasaan antara APMM dan Pasukan Gerakan Marin (PGM), beliau berkata, perkara itu akan diputuskan tidak lama lagi.
''Perkara ini sedang diselaraskan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd. Sidek Hassan) supaya tidak berlaku pertindihan.
''Pada masa akan datang, APMM akan diberi kuasa yang lebih berbanding dengan pihak keselamatan lain. Hal ini akan diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,'' ujarnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:39 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for RM40j kompaun terhadap nelayan tempatan, asing

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]