BTN bantu hindari rusuhan kaum

PUTRAJAYA: Kursus Biro Tata Negara (BTN) banyak membantu rakyat Malaysia memahami patriotisme yang membolehkan mereka hidup aman tanpa masalah seperti rusuhan kaum, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan. Beliau berkata, Malaysia tidak pernah mengalami masalah kaum kerana semua peserta yang mengikuti BTN diberikan pendedahan khusus mengenai aspek pembinaan semangat cintakan tanah air, keamanan, perpaduan dan penerapan nilai murni. Malah, Ahmad berkata, beliau percaya Malaysia pasti sudah lama hancur jika kerajaan menerapkan semangat dan api perkauman di dalam modul BTN.
“Sehingga kini berjuta rakyat Malaysia sudah menyertai BTN sejak kursus itu diperkenalkan pada 1974. Jika BTN mengamalkan perkauman mesti sudah lama Malaysia terbakar. “Jika dalam kursus BTN kita suruh orang Melayu lancar perang terhadap orang Cina, maka sudah lama tercetus rusuhan kaum di Malaysia tetapi sehingga kini perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan ceramah sempena Seminar Gagasan 1Malaysia kepada kakitangan kerajaan di sini, semalam. Berikutan itu, Ahmad berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak terutama parti pembangkang bahawa modul dan bahan yang digunakan dalam kursus BTN adalah bersifat perkauman.
Katanya, asas utama modul kursus BTN adalah menerapkan semangat patriotisme, nilai murni dan memberi maklumat berguna kepada orang ramai mengenai dasar kerajaan. “Bagaimanapun, apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan, maka modul BTN akan ditambah baik mengikut kesesuaian. Misalnya, ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (menjadi Perdana Menteri) modul yang digunakan BTN memberi penekanan kepada aspek patriotisme, penerapan nilai murni dan Wawasan 2020. “Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, pula modul BTN memberi penekanan kepada aspek patriotisme, nilai murni dan pembangunan modal insan. “Bagaimanapun, selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, modul BTN ditambah baik menjadi penerapan semangat patriotisme, nilai murni dan Gagasan 1Malaysia. Ini adalah penambahbaikan yang kita buat,” katanya.
Ahmad berkata, parti pembangkang tidak sepatutnya menimbulkan isu modul BTN kerana pendekatan sama turut digunakan dalam kursus anjuran kerajaan negeri yang diperintah pakatan termasuk di Selangor.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 3:10 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for BTN bantu hindari rusuhan kaum

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]