BTN tetap diteruskan di Selangor

JITRA 29 Nov. - Kursus Biro Tata Negara (BTN) tetap diteruskan di Selangor walaupun kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang di bawah kuasa kerajaan negeri berkenaan dilarang mengikuti kursus tersebut baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana bukan semua kakitangan kerajaan di negeri itu tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Pegawai Kerajaan Persekutuan banyak di Selangor, begitu juga dengan pelajar universiti, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan belia boleh diberi kursus BTN," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian baru UMNO daripada 200 belia di Kampung Seberang di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man dan ADUN Bukit Kayu HItam, Datuk Zaini Japar turut hadir.
Ahmad diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor Rabu lalu melarang kakitangan awam dan pelajar IPT yang di bawah kuasa kerajaan tersebut daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta merta.
Ia berikutan dakwaan kononnya ia sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hinggakan mencetuskan fenomena perkauman.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana BTN dianjurkan bagi memupuk semangat patriotisme tanpa mengira fahaman politik dan menjunjung Perlembagaan Negara.
"Ia juga diadakan supaya nilai murni, disiplin, semangat berpasukan dan hormat menghormati diterapkan kepada peserta agar dapat mengatur kehidupan lebih baik, jadi lebih berani dan yang penting mempunyai disiplin tinggi terutama dalam menjaga amanah.
"Sebab itu diperkenalkan konsep JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan peserta," kata beliau.
Mengenai dakwaan pembangkang bahawa BTN mencetuskan fenomena perkauman, Ahmad menegaskan, pihak berkenaan terutamanya kerajaan Selangor boleh mengadakan kursus tersendiri tetapi jangan sampai mengeluarkan kenyataan tidak elok terhadap BTN.
"Namanya pun Biro Tata Negara, kursus pula Kursus Bina Negara dan tempat diadakan pun nama Kem Bina Negara, ini semua untuk menerapkan semangat cintakan negara.
"Pembangkang kalau nak buat kursus sendiri, buatlah janganlah buat dakwaan tidak betul terhadap BTN.
"Kita (kerajaan) tetap akan teruskan, kita juga mempunyai banyak kem untuk penganjuran kursus ini di Selangor, tidak ada masalah," kata beliau.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:28 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

1 comments for BTN tetap diteruskan di Selangor

  1. Sokong BTN meneruskan program/kursus di Selangor. Agar semangat patriotisme terus membara bagi mengekang kemunculan anti-nasional

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]