Tun M: Kekalkan modul BTN sedia ada

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kerajaan tidak perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga terpaksa merombak kurikulum Biro Tata Negara (BTN) yang telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tiada sebarang masalah terhadap modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN sekarang.
''Saya tidak nampaklah apa sebab (nak rombak)...saya ingat (modul sedia ada) kekal.
''Saya biasa jadi penceramah semasa menjadi Perdana Menteri, ceramah dan modul yang kita amalkan tidak melibatkan apa-apa masalah. Kalau ada masalah, dari dulu lagi sudah timbul,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia, di kompleks beli-belah Wangsa Walk di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Kabinet bersetuju merombak kurikulum BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.
Bagaimanapun kenyataan Mohamed Nazri itu berbeza dengan nada yang disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang menjelaskan modul BTN tidak perlu dirombak, sebaliknya akan ditambah baik agar sesuai dengan situasi semasa.
Kenyataan Mohamed Nazri itu juga telah menimbulkan perasaan kurang senang khususnya di kalangan pemerhati politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kerana menggambarkan seolah-olah kerajaan tunduk kepada desakan pembangkang selain terlalu bersifat pemaaf.
Komen beliau itu susulan daripada tindakan drastik kerajaan Selangor melarang kakitangan awam serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri daripada menyertai kursus BTN, sebelum tindakan yang sama turut diambil oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, BTN sepanjang penubuhannya telah berfungsi dengan baik bagi menerangkan terutamanya kepada pengawai kerajaan tentang pentingnya melaksanakan khidmat terbaik untuk rakyat.
''Kadang-kala, kita dapati ramai orang tidak faham mengenai nilai-nilai positif yang boleh dijayakan oleh BTN sedangkan penerapan nilai positif penting bagi membolehkan pegawai kerajaan serta rakyat membudayakannya untuk membangunkan negara.
''Setakat pengetahuan saya, tidak ada yang kurang dan buruk dengan BTN. Malah, sebahagian besar daripada modul adalah sesi penerangan mengenai sejarah negara kita," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tidak ada sebab sebenarnya untuk pembangkang serta golongan yang bersimpati dengan perjuangan mereka takut sehingga menjadikan BTN sebagai mangsa permainan politik.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:48 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Tun M: Kekalkan modul BTN sedia ada

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]