Dasar perimbangan mentadbir negara terbukti berkesan, adil

SHAH ALAM 19 Dis. – Dasar perimbangan yang menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara terbukti lebih berkesan dan adil berbanding dasar kesamarataan yang dituntut sesetengah pihak.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar itu juga menjadi asas kepada pembentukan konsep 1Malaysia yang menerima dan mengiktiraf kepelbagaian kaum di negara ini sebagai sumber kekuatan.
Beliau berkata, dasar yang dilaksanakan kerajaan selepas tragedi 13 Mei 1969 itu turut membuka peluang lebih luas kepada anak peneroka yang juga generasi kedua Felda untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
“Ini terbukti apabila dasar yang mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kepentingan kaum lain itu telah berjaya melahirkan hampir 87,000 siswazah di kalangan anak peneroka Felda,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Konvensyen Siswa/Siswi Felda 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.
Mohamed Khaled menjelaskan, dasar perimbangan diguna pakai dengan mengambil kira faktor yang mengiktiraf orang Melayu sebagai kaum paling ramai memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Katanya, setiap tahun sebanyak 40,000 pelajar Melayu memohon memasuki IPT tempatan berbanding kaum Cina (10,000) dan India 8,000 orang.
“Jika dasar kesamarataan diguna pakai bagi menggantikan perimbangan, sudah tentu mendatangkan ketidakadilan kepada kaum Melayu kerana jumlah permohonan itu jauh lebih tinggi berbanding Cina dan India,’’ ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga tidak boleh mengguna dasar terbuka, bebas atau bergantung kepada pasaran bagi menentukan kemasukan pelajar ke IPT awam kerana pelajar Melayu jauh ketinggalan.
“Di peringkat global misalnya, jika sesebuah negara tidak bersedia dan tidak mempunyai kelengkapan sudah tentu akan gagal dalam persaingan.
“Sebuah negara miskin yang serba kekurangan tetapi dipaksa bersaing sudah tentu akan kalah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, UiTM juga ditubuh berasaskan dasar perimbangan yang ditekankan BN dan.
Hasilnya kata beliau, 5,000 daripada 8,000 anak peneroka Felda yang sedang belajar di IPTA, kini berada di UiTM di seluruh negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda membelanjakan RM824.4 juta untuk program Pembangunan Generasi Baru Felda bagi tempoh 2005 hingga 2009.
Katanya, jumlah itu membabitkan peruntukan untuk pendidikan (RM188.5 juta), latihan kemahiran (RM188.4 juta), sukan (RM6 juta), keusahawanan (RM101.5 juta) dan perumahan warga Felda (RM340 juta).
Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Mahasiswa Felda dan Perjuangan Memartabatkan Agama, bangsa dan Tanah Air.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:03 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Dasar perimbangan mentadbir negara terbukti berkesan, adil

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]