Ahli Parlimen BN kesal laporan blog

AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN), termasuk Menteri dan Timbalan Menteri semalam kesal dengan laporan sinis sebuah blog yang menyifatkan ketidakhadiran ramai wakil rakyat parti itu sebagai 'terponteng' ketika undian belah bahagian sehingga menyaksikan hanya kelebihan tiga undi bagi meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat, baru-baru ini. Mereka menyifatkan dakwaan 'terponteng' itu sebagai tidak adil kerana ada menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen BN terikat dengan tanggungjawab tugas masing-masing atau mempunyai masalah kesihatan. Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menjelaskan beliau tidak hadir pada hari itu kerana dinasihatkan doktor supaya berehat berikutan komplikasi terhadap kandungannya yang sudah berusia lapan bulan.
Malah, Ketua Puteri Umno itu berkata, surat sijil sakit juga diberikan kepada Ketua Whip, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menerusi pegawainya. "Saya kesal dengan pendekatan yang cuba dibawakan individu (di sebalik blog) ini. Bagaimanapun, kita ambil iktibar atas apa yang berlaku baru-baru ini," katanya ketika dihubungi semalam. Sebuah laman blog semalam melaporkan senarai nama dan wajah menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen yang didakwa 'terponteng' dan hampir mengakibatkan 'takhta' Najib diserahkan kepada pembangkang.
Seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan. Kehadiran Ahli Parlimen BN hanya 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota berbanding 77 peratus pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ketidakhadirannya ketika itu adalah kerana mempunyai tugas yang tidak dapat dielakkan. "Tetapi kejadian itu sudah berlalu dan terdapat cadangan menyusun kembali pengurusan di Parlimen, (malah) saya tidak tahu ada pengundian pada hari itu. Perlu ada penambahbaikan di masa depan," katanya. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata beliau tidak menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat, Isnin minggu lalu kerana berada di India atas urusan rasmi kerajaan.
"Saya berada di India selama dua hari bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Jalan dan Lebuh Raya India. "Ini adalah lawatan rasmi atas urusan rasmi kerajaan dan turut mendapat pelepasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya selepas majlis perjumpaan menteri bersama peserta program perintis bekerja dari rumah di kementeriannya di sini, semalam. Sementara itu, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi enggan mengulas mengenai laman blog berkenaan yang turut memaparkan wajah mereka sebagai sebahagian wakil rakyat tidak menyertai ujian belah bahagian.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:09 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Ahli Parlimen BN kesal laporan blog

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]