Jangan mudah putus asa majukan diri

PONTIAN 13 Dis. - Golongan miskin dan miskin tegar diingatkan supaya tidak mudah berputus asa untuk memajukan diri dan keluarga agar mereka dapat keluar daripada kemiskinan yang membelenggu kehidupan selama ini.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan menyediakan banyak peluang kepada mereka khususnya golongan muda dan bertenaga bagi mengubah masa depan.
Namun katanya, untuk meningkatkan taraf hidup keluarga, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya pada bantuan yang diberikan, sebaliknya meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang yang diceburi.
"Sejajar dengan matlamat menjadikan negeri ini sifar miskin dan miskin tegar pada tahun depan, golongan ini diharap dapat mengubah minda dan paradigma dengan bersedia untuk berubah demi keluarga masing-masing.
"Pada masa ini, banyak agensi dan jabatan kerajaan menyediakan peluang latihan selain dana bagi membantu golongan miskin di negara ini," katanya pada majlis penyampaian bantuan bulanan peserta Program Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Felcra di Taman Sri Api-Api di sini semalam.
Pada majlis tersebut seramai 16 penerima di daerah ini mendapat bantuan berjumlah RM3,600 termasuk duit raya bagi tahun ini.
Turut hadir Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Johor, Yahya Yusofe; Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Khair Johari Salleh dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Jahis Othman.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Felcra adalah salah satu agensi kerajaan yang membantu golongan miskin dan miskin tegar melalui aktiviti perladangan kelapa sawit dan getah.
"Keuntungan yang dijana daripada ladang-ladang tersebut diagihkan kepada golongan tersebut yang dimulakan sejak 1997," katanya.
Katanya, kerajaan serius dalam usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat dengan menyalurkan banyak bantuan termasuk pembinaan rumah, peluang ekonomi dan pendidikan.
Ahmad berharap, tiada lagi golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan yang diberikan sejajar dengan konsep 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Justeru, beliau meminta penghulu, ketua kampung dan pemimpin masyarakat mengenal pasti bantuan yang sesuai diberikan kepada golongan miskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:54 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Jangan mudah putus asa majukan diri

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]