Juara Rakyat bantu semua kaum







HULU SELANGOR 9 Jan. – Pengisian Program Juara Rakyat yang dilancarkan hari ini tidak terhad kepada usaha membantu orang Melayu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Perdana Menteri, walaupun ia inisiatif UMNO, Program Juara Rakyat dirangka dengan semangat memperjuangkan nasib kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Sebagai sokongan kepada UMNO, beliau menyarankan parti komponen Barisan Nasional (BN) mendokong tema yang sama dalam program anjuran mereka.
“Malah lagu juara rakyat yang kita perdengarkan buat pertama kali tadi turut menggunakan bahasa lain (Mandarin, Tamil, Inggeris, Iban dan Kadazan) untuk menggambarkan walaupun UMNO mempelopori konsep ini ia tetap memperjuangkan kepentingan semua kaum.
“Jadi apabila membuka pusat khidmat atau membuat program, kita mahu ia bercorak penyertaan semua kaum,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa yang dihadiri oleh kira-kira 20,000 rakyat jelata di sini hari ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Pengerusi Pelaksana Program Juara Rakyat, Datuk Ahmad Maslan serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan BN.
Program Juara Rakyat yang berlangsung tiga hari bermula semalam itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik di samping pameran dan jualan melibatkan 125 gerai.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, semua 191 bahagian UMNO di seluruh negara diwajibkan menganjur satu Program Juara Rakyat pada setiap bulan berdasarkan 12 bidang yang digariskan.
Jelasnya, antara bidang itu ialah pendidikan, kebajikan, wanita, keluarga, belia, pertanian, pekerjaan, kesihatan dan kerohanian.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu akan dipantau dan mana-mana bahagian yang gagal memenuhi kuota akan ditegur oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik mengawasi bahagian berkaitan.
Katanya, dengan cara itu UMNO dapat mengaktifkan jentera parti supaya lebih dekat dengan rakyat dan seterusnya memenuhi peranan UMNO dan BN sebagai pendokong cita-cita rakyat.
“Kita mahu pemimpin UMNO peka kepada permasalahan rakyat dan sanggup mengambil tindakan menyelesaikan masalah mereka.
“Ini bukan bererti semua masalah boleh diselesaikan dalam sekelip mata tetapi lebih penting ialah soal keprihatinan kita terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Mengenai kempen memburuk-burukkan UMNO yang mahu dilancarkan Pas, Perdana Menteri berkata ia terpulang kepada parti Islam itu jika mahu berkempen secara negatif.
Katanya, UMNO juga boleh berkempen secara negatif terhadap Pas namun ia tidak dilakukan bagi mengelakkan rekod perkhidmatan UMNO yang baik sebelum ini terjejas.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:41 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Juara Rakyat bantu semua kaum

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]