Juara Rakyat: Pas tiada hak pertikai


PONTIAN 17 Jan. – Pas tidak berhak mempertikaikan jumlah peruntukan yang digunakan UMNO pada majlis pelancaran program Juara Rakyat baru-baru ini dan juga siri kempen program itu pada masa akan datang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu tidak perlu tampil membuat penjelasan kerana keseluruhan program itu dibiayai dengan sumber kewangannya sendiri.
“Saya hendak maklum program pelancaran itu kita guna wang UMNO dan Pas tidak boleh mempertikai berapa banyak kita hendak guna kerana itu semua terpulang pada UMNO.
“Pas juga tidak ada hak hendak tanya berapa banyak jumlah peruntukan program itu di bahagian-bahagian nanti kerana kita masih menggunakan wang parti.
“UMNO Pusat akan memberi sedikit peruntukan kepada bahagian untuk mengadakan program Juara Rakyat dan selebihnya terpulang kepada kebijaksanaan bahagian untuk mendapat peruntukan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan kepada pelajar-pelajar miskin sempena program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Pontian di sini hari ini.
Turut berlangsung pada program itu pertandingan memancing GP Joran Bagus 2010.
Ahmad mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar yang meminta UMNO menjelaskan sumber peruntukan untuk membiayai pelancaran program Juara Rakyat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hulu Selangor, Selangor hujung minggu lalu.
Mahfuz berkata, penjelasan tersebut dapat mengelak tanggapan bahawa wang rakyat disalahgunakan bagi kepentingan politik parti UMNO.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempertikaikan peruntukan berjumlah RM15.6 juta yang diumumkan Najib pada pelancaran program itu bagi membaiki pangsapuri di sekitar Bandar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, menjadi hak Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk mengumumkan apa jua peruntukan pada bila-bila masa.
“Beliau hendak umum sewaktu buat lawatan ke, masa Perhimpunan Agung UMNO ke, dalam majlis Barisan Nasional ke, di Pejabat Perdana Menteri ke, itu terpulang kepada beliau kerana beliau ialah Perdana Menteri.
“Kerajaan Malaysia adalah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri ialah Pengerusi BN.
“Perdana Menteri tidak boleh memisahkan dirinya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN walau di mana beliau berada ketika membuat apa jua pengumuman,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:20 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

3 comments for Juara Rakyat: Pas tiada hak pertikai

  1. Teruskan Yb agenda untuk rakyat. Jgn di hirau nyamuk terutama yg bernama Mahfuz Omar tu. Dia tu anak sendiri pun tak terbela lagi nak sibuk hal orang...

  2. Tahniah Dato',
    Program yang bagus. Tentu dicemburui.
    Yang penting, konsisten, pemantapan, dan nilai tambah.

  3. salam datuk. saya tak pertikai hak duit UMNO menggunakan duit. saya sayang kepada UMNO. sbb sayang saya nak tegur. kalau benar juara, kenapa d potong makanan orang miskin d sekolah. kenapa d potong peruntukan kepada mereka yang duk d asrama. kalau yang duk jauh camne datuk? sbb sayang sya tegur UMNO supaya UMNO tidak berada jauh dari rakyat seperti yang di lakukan mr flip flop. datuk tahu sape yang saya maksudkan. kalau benar juara rakyat, bagitau bos, mapen kena mesyuarat hari2 seperti MTEN masa gawat dahulu.
    eknomi dan nak lingkup tapi mohd najib buat dek je. saya sayang kepada UMNO sbb itu saya tegur.

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]