Memperkasakan APMM – Muhyiddin




PELABUHAN KLANG 9 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah menyerapkan anggota serta aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan ke dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bertujuan memperkasakan agensi itu.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, selain itu, penyerapan tersebut juga akan memastikan tiada pertindihan tugas berlaku di antara agensi-agensi penguatkuasaan maritim berkenaan.
“Mesyuarat mengenai perpindahan agensi-agensi ini akan diadakan untuk pastikan seluruh aset, tenaga pegawai dan anggota berkenaan dapat dipindahkan.
“Sebenarnya, kita (kerajaan) tidak mahu ada pertindihan tugas dari segi tanggungjawab mereka,’’ katanya pada sidang akhbar di perairan Pulau Pintu Gedung dekat sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyaksikan Eksesais Maritim Perkasa APMM siri pertama tahun ini di perairan berkenaan.
Eksesais yang berlangsung selama lebih sejam itu menyaksikan penglibatan lebih 1,000 anggota APMM dengan menggabungkan 12 kapal serta tiga aset udara agensi tersebut, termasuk pesawat amfibia Bombardier 415MP.
Ia turut disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish serta wakil-wakil media.
Tambah Muhyiddin, penubuhan APMM sejak 2006 lalu adalah perlu bagi menjaga kepentingan dan keselamatan kawasan perairan negara yang luas.
Katanya, keadaan itu membuatkan tugas APMM dilihat penting dan mencabar.
Namun jelas beliau, APMM telah melakukan tugas dengan baik berdasarkan statistik pemeriksaan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan tangkapan di laut yang dilakukan agensi itu selama ini.
Bagi tahun 2006, katanya, sebanyak 360 pemeriksaan kapal di perairan negara telah dilaksanakan APMM dan ia meningkat pada 2007 dengan 4,497 pemeriksaan, 2008 (7,396), 2009 (13,528) dan 1,239 pemeriksaan dijalankan sehingga 5 Februari tahun ini.
Bilangan tangkapan ke atas pesalah di lautan yang dilaksanakan APMM pula adalah sebanyak 176 kes pada 2006, 683 kes (2007), 639 kes (2008), 1,028 kes (2009) dan 155 kes setakat Februari ini.
Muhyiddin juga berkata, kerajaan telah membelanjakan RM600 juta bagi membeli aset-aset terbaru APMM pada tahun lalu.
Katanya, perolehan aset-aset baru untuk APMM masih dijalankan melalui bajet tahun ini serta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memantapkan pasukan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, katanya, kes kehilangan dua rakyat tempatan dari ladang pemeliharaan rumpai laut di Pulau Sebangkat, berhampiran Semporna semalam tiada kaitan dengan amaran perjalanan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat sebelum ini.
Sebaliknya tegas beliau, ia merupakan satu kejadian penculikan yang mungkin membabitkan rompakan ke atas seorang usahawan di sana dan tidak menunjukkan ia dilakukan oleh pihak luar.
“Bagaimanapun, pihak polis dan APMM kini sedang menjalankan operasi-operasi yang diperlukan,’’ jelasnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:30 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Memperkasakan APMM – Muhyiddin

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]