MT, Exco jadi 'bapa angkat' bahagian UMNO

PUTRAJAYA 10 Feb. - Semua ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Exco sayap parti akan dijadikan sebagai 'bapa angkat' kepada 191 bahagian UMNO di seluruh negara dalam usaha menjayakan program Juara Rakyat.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, elemen baru dalam program berkenaan telah dipersetujui oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Selepas ini, setiap ahli MT, Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO perlu turun ke bahagian angkat masing-masing setiap bulan.
"Ini bagi memastikan kawasan angkat mereka dapat melaksanakan program Juara Rakyat selain mendapatkan aduan daripada rakyat untuk dibawa kepada pucuk pimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dan minum petang Puteri UMNO bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Sebelum ini, bahagian angkat hanya melibatkan ahli MT sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat majlis itu pada 4 Disember lalu.
Menurut Ahmad, selain program Juara Rakyat, setiap biro dalam UMNO dan sayap parti perlu aktif menggerakkan program masing-masing bagi menyelesaikan isu-isu rakyat.
"Ini seperti mengadakan kaunter-kaunter untuk rakyat membuat pengaduan sekali gus dapat membantu membawanya kepada pengetahuan agensi kerajaan berkaitan," katanya.
Dalam hal ini, katanya, tumpuan program Juara Rakyat akan dibuat mengikut tema yang berbeza pada setiap bulan.
"Bulan ini temanya ialah kebajikan, jadi kita boleh bantu ibu-ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan membaiki rumah orang miskin.
"Semua itu bergantung kepada kreativiti bahagian masing-masing," katanya.
Mengenai dakwaan pembangkang bahawa program Juara Rakyat menyalahgunakan agensi kerajaan, Ahmad berkata, ia adalah satu tuduhan yang tidak berasas.
Katanya, UMNO hanya bertindak sebagai fasilitator dengan mengadakan satu program bagi membantu agensi-agensi kerajaan menjalankan tugas mereka.
Sebagai contoh katanya, setiap program Juara Rakyat akan menyediakan tempat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan kempen daftar pengundi.
"Kita akan sediakan satu tempat bagi mengumpulkan agensi-agensi lain untuk menyediakan perkhidmatan mereka, ini lebih memudahkan rakyat," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:31 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for MT, Exco jadi 'bapa angkat' bahagian UMNO

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]