Pemimpin UMNO pertikai keikhlasan MB Kelantan

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Para pemimpin UMNO mempertikaikan keikhlasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah mencadangkan supaya kedua-dua parti berbincang bagi menamatkan perseteruan lebih 50 tahun.
Menurut mereka, kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan adalah mengelirukan memandangkan beliau merupakan individu paling kuat menentang idea kerajaan perpaduan yang dianjurkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, banyak persoalan timbul daripada kenyataan itu termasuk adakah Nik Abdul Aziz cuba bermain politik apabila mengemukakan cadangan ketika pakatan pembangkang kini berpecah.
''Halangan utama untuk Pas berbincang dengan UMNO sebelum ini ialah Menteri Besar Kelantan, tetapi semalam setuju pula. Kita pun jadi keliru.
''Adakah Pas hanya bermain politik? Apabila pembangkang kelihatan berpecah, maka ditimbulkan cerita dialog, harap kali ini ikhlas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Nik Abdul Aziz semalam supaya parti itu dan UMNO duduk semeja berbincang serta menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.
Ujar Menteri Besar Kelantan itu, Pas adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam UMNO sendiri dan adalah tidak wajar perseteruan yang ada terus menerus berlaku.
Walaupun sangsi dengan keikhlasan Nik Abdul Aziz, Ahmad Maslan berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO untuk menimbangkan cadangan terbaru itu.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan Nik Abdul Aziz itu membuktikan beliau telah hilang keyakinan terhadap parti-parti lain yang berada dalam pakatan pembangkang.
''Telah lama dicadangkan idea muzakarah tapi selalu ditolak oleh Nik Abdul Aziz.
''Tetapi mungkin beliau sendiri sedar setelah melihat masalah demi masalah melanda pakatan pembangkang dan perangai DAP yang tidak menghormati isu sensitif, maka beliau memutuskan untuk bersama UMNO.
''Ini petanda jelas Nik Abdul Aziz hilang keyakinan dengan rakan-rakan kongsi dalam pakatan pembangkang," ujarnya.
Mengulas isu sama, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kepimpinan parti mesti memastikan pemimpin Pas benar-benar ikhlas mahu menamatkan perseteruan sebelum menyatakan persetujuan dengan cadangan terbaru itu.
''Kita juga tidak mahu pemimpin Pas sekadar mengeluarkan kenyataan retorik yang kemudiannya dikatakan tidak bermaksud sedemikian," katanya.
Beliau berkata, perdamaian antara kedua-dua parti hanya dapat dicapai sekiranya segala syarat yang boleh menggagalkan rundingan diketepikan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:25 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Pemimpin UMNO pertikai keikhlasan MB Kelantan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]