Tinggalkan segera pakatan pembangkang


KUANTAN 31 Jan. - Pemimpin dan ahli pakatan pembangkang tidak seharusnya mengambil pendirian tunggu dan lihat sebaliknya perlu meninggalkan segera parti masing-masing sebelum pakatan yang mereka cipta itu musnah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menegaskan, dengan pergolakan politik yang semakin serius akhir-akhir ini, pakatan pembangkang yang kini dikenali sebagai 'pakatan rapuh' diibaratkan sebagai 'retak menanti belah.'
Menurut beliau, pihaknya sentiasa bersikap terbuka kepada mana- mana pemimpin dan ahli parti pembangkang yang berhasrat menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
''Pakatan pembangkang yang terdiri daripada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ini bukanlah pakatan rakyat seperti yang diuar-uarkan tetapi merupakan pakatan rapuh.
''Kita bersedia menerima ahli-ahli pembangkang untuk menyertai UMNO atau BN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Indera Mahkota di Dewan Orang Ramai Balok dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kemelut politik antara pakatan pembangkang terutama di Pulau Pinang yang semakin serius sejak akhir-akhir ini.
Dalam perkembangan terbaru Khamis lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed secara keras menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang digambar sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.
Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan, kerapuhan pakatan pembangkang yang berlainan ideologi itu telah wujud sejak sekian lama.
Jelas beliau, parti-parti pembangkang terbabit hanya menjalinkan kerjasama semata-mata mahu menewaskan BN dan memenangi pilihan raya.
''Sedangkan hakikatnya, ketiga-tiga parti berkenaan tidak mempunyai keserasian sama sekali," katanya.
Beliau menjelaskan, pergolakan berlaku dalam pakatan pembangkang tersebut adalah realiti dan bukan sandiwara.
''UMNO dan BN tidak mempunyai sebarang kaitan dengan apa yang berlaku dalam pakatan terbabit," tegasnya.
Beliau juga tidak menolak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menuduh UMNO sebagai dalang terhadap apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang pada masa ini.
''Itu memang taktik Anwar yang akan menuduh UMNO dan BN sebagai punca berlaku sesuatu masalah walaupun ia terjadi dalam pakatan pembangkang.
''Bercakap pasal Anwar ini, kalau ada tayar motosikal pancit di tepi jalan pun, dia akan tuduh orang UMNO yang pancitkan," tambahnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:01 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Tinggalkan segera pakatan pembangkang

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]