Mangsa kebakaran rayu bina semula rumah


PONTIAN 31 Jan. - Mangsa kebakaran di Kampung Parit Selangor, Benut, di sini merayu pihak berkaitan agar memberikan bantuan bagi membina semula rumahnya yang hangus akibat kejadian tersebut.
Mangsa, Mohd. Rafek Amir, 42, berkata, dia bersama isteri dan empat anaknya kini terpaksa menumpang sementara di rumah jirannya ekoran ketiadaan tempat tinggal.
Lebih membimbangkan, katanya, dua anaknya, Nurul Natasha, 15, dan Nurul Nabila, 12, akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Nurul Natasha, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Benut, sementara Nurul Nabila belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Markom, Benut.
Menurutnya, dengan pendapatan bulanan RM1,200 sebagai pemandu lori bahan binaan, beliau tidak berkemampuan untuk membina semula rumahnya.
"Saya merayu kepada pihak berkenaan supaya membantu membina semula rumah saya ini agar anggota keluarga saya dapat tinggal dengan lebih selesa terutama anak-anak yang masih bersekolah.
"Kami sekeluarga pun tidak tahu sampai bila akan menumpang di rumah jiran memandangkan kami tiada tempat tinggal yang lain," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada malam kelmarin, rumah kayu peninggalan keluarga Mohd. Rafek hangus menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang dan hanya dapat menyelamatkan beberapa dokumen penting sahaja.
Turut musnah ialah pakaian serta buku sekolah yang tidak dapat diselamatkan kerana api marak begitu cepat.
Tambah Mohd. Rafek, ketika kejadian, dia masih di tempat kerja manakala yang ada di rumah ketika itu adalah isterinya, Aminah Abu, 38, empat anaknya, Nurul Najiha, 9 bulan, Nurul Nabiba, 10 tahun selain Nurul Nabila dan Nurul Natasha.
"Namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat dalam kejadian tersebut walaupun rumah saya hangus termasuk sebuah motosikal," katanya penuh hiba.
Ditanya mengenai punca kejadian tersebut, beliau diberitahu oleh Nurul Natasha bahawa ia berpunca daripada kebakaran di bahagian dapur yang terus merebak ke bahagian lain di seluruh rumah.
''Mungkin berlaku litar pintas kerana dikatakan berlaku seperti percikan api," ujarnya.
Setakat ini beberapa pihak telah menghulurkan bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Pejabat Daerah Pontian, Majlis Agama Islam Pontian selain penduduk kampung.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang melawat ke tempat kejadian turut memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (3) Mukim Sungai Pinggan, Kasmadi Subuh berkata, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Rela bersedia membina rumah Mohd. Rafek secara gotong-royong sekiranya mempunyai bekalan bahan binaan.
Katanya, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut dan berharap ada pihak yang dapat memberikan peruntukan segera agar kerja-kerja dapat dilakukan dengan segera.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:01 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Mangsa kebakaran rayu bina semula rumah

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]