Jenazah Zainal Abidin selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR 26 Mac - Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Jalan Kajang-Cheras, kira-kira pukul 11 pagi di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Batu 10, Jalan Cheras, kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pada majlis pengkebumian tersebut, sekitar 300 orang rakan, sanak saudara serta pemimpin politik silih berganti datang memberi penghormatan terakhir.

Bagaimanapun, usaha mendapat reaksi ahli keluarga Dr. Zainal Abidin gagal kerana mereka enggan ditemubual berikutan masih bersedih dengan kematian Allahyarham.

Allahyarham, 71, yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor semasa bersama UMNO meninggal dunia akibat barah otak di rumahnya malam tadi.

Bernama dalam laporan awalnya semalam menyebut, adik Allahyarham, Md. Hambali mengesahkan Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.27 malam.

Hadir menziarahi jenazah ialah Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menziarahi ialah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Tidak ketinggalan memberi penghormatan terakhir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim.

Zainal Abidin meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd. Zin dan empat orang anak.

Allahyarham merupakan seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa dan memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 atas tiket PKR selepas menyertai parti itu pada 2005.

Semasa menganggotai UMNO, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal Abidin pernah menjawat jawatan Exco negeri.

Antaranya ialah jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:08 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Jenazah Zainal Abidin selamat dikebumikan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]