Menteri, Anggota Parlimen Sambut Baik Ucapan Agong

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Para menteri dan anggota Parlimen Isnin menyambut baik titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan pembukaan penggal ketiga persidangan Parlimen ke-12, di sini hari ini.Kebanyakannya menyifatkan ucapan itu sebagai menyeluruh kerana menyentuh pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian dan penambahbaikan pada masa akan datang.Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata dasar baru berkaitan sektor agro makanan yang akan digubal seperti yang dititahkan Tuanku Mizan, adalah bersesuaian dengan perancangan kementerian itu untuk mengadakan Dasar Pertanian Negara keempat.Katanya dasar itu akan dimulakan dengan penganjuran satu konvensyen pertanian yang dijangka diadakan bulan depan bagi membincangkan halatuju agro makanan, cara meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dan usaha untuk meningkatkan pendapatan nelayan dan petani.Sementara itu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata beliau menyokong saranan Yang di-Pertuan Agong agar negeri-negeri lain mengikut jejak langkah kementeriannya menyediakan kemudahan perumahan yang selesa untuk golongan berpendapatan rendah di bandar.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula menyifatkan titah ucapan Tuanku Mizan merangkumi semua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara."Panduan yang diberikan baginda juga perlu diikuti oleh semua wakil rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara selain membantu rakyat," katanya.Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata said Tuanku Mizan menerusi titah itu telah meletakkan hala tuju kerja yang harus dibuat kerajaan tahun ini."Amat jelas setiap orang terlibat. Ianya mengenai cara melakukan kerja iaitu melibatkan prestasi, kepantasan dan kebertanggungjawaban. Juga tumpuan jelas mengenai enam Bidang Keberhasilan Utama Negara," katanya.Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata selain mengiktiraf hala tuju negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang di-pertuan Agong turut menekankan perlunya pembelaan kepada masyarakat luar bandar."Yang penting titah Tuanku itu supaya rakyat kita utamakan dan kemudahan-kemudahan ini tentunya akan beri keselesaan kepada rakyat khususnya di luar bandar," katanya.Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu akan terus memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat dalam aspek kesihatan, seperti yang ditekankan Tuanku Mizan.Bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau berbesar hati dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menghargai sumbangan yang diberikan kaum wanita untuk pembangunan negara selama ini.Mengenai hak orang kurang upaya (OKU) Shahrizat berkata pihaknya akan menjalankan audit terhadap premis di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan pengusaha pengangkutan awam bagi memastikan kemudahan yang disediakan mesra OKU.Mengenai usaha membangunkan sektor sukan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pengamal media perlu meluaskan dan memantapkan ilmu dalam bidang kewartawanan sukan agar pemberitaan mereka setaraf dengan laporan berita sukan antarabangsa.Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir pula berkata anggota Parlimen juga perlu mematuhi saranan Tuanku Mizan supaya saling berbaik sangka untuk mengelakkan tercetusnya ketegangan antara kaum dan agama.Mengenai usaha-usaha untuk membangunkan generasi baru Felda, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata program-program yang berkesan untuk mereka akan diteruskan.Bagi Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong teguran yang diberikan Seri Paduka terutamanya yang menyentuh mengenai disiplin sesetengah anggota Parlimen, perlu diberikan perhatian dan dijadikan iktibar.Anggota Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berkata semua wakil rakyat perlu memberi perhatian serius kepada titah ucapan Tuanku Mizan yang menekankan pelbagai perkara termasuk usaha bersama untuk membanteras rasuah."Kita akan memikul amanah yang disampaikan Baginda dalam usaha bersama membangunkan negara selain berjuang membela nasib rakyat di negara ini," kata Naib Presiden Pas itu.-- BERNAMA

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 3:59 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Menteri, Anggota Parlimen Sambut Baik Ucapan Agong

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]